Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keracunan alkohol: 3 premis di Sg Buloh ditutup

Tiga premis yang menjual minuman keras di Kampung Baru Sungai Buloh diarah ditutup kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah selain disyaki menjual minuman keras tiruan.

Ng Sze Han, Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, berkata semua premis itu dimiliki dan diusahakan oleh warga asing selain didirikan di tapak pertanian.

"Semua premis itu beroperasi sebagai kedai makan yang turut menjual minuman keras. Namun, kita masih belum dapat mengesan pemilik sebenarnya dan siasatan sedang dilakukan.

"Oleh itu, tindakan telah diambil untuk menutup premis berkenaan. Kita sangat memandang serius akan masalah ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sungai Buloh hari ini.

Susulan itu, Sze Han yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata pihaknya memutuskan untuk mengadakan satu mesyuarat khas dalam kadar segera dengan agensi lain seperti pejabat daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mesyuarat itu akan membincangkan satu kaedah yang terbaik untuk menutup semua lopong-lopong yang masih ada. Kita masih boleh lihat ada lagi kedai-kedai runcit atau restoran yang menjual minuman keras secara tidak sah atau tiruan ini.

"Biasanya, minuman keras ini akan dibungkus dalam beg plastik atau dimasukkan ke dalam botol asli bagi mengelirukan pembeli dan penguatkuasa," katanya.

Setakat ini KKM mengesahkan 19 mangsa maut, 14 dalam keadaan kritikal, sembilan pesakit dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemerhatian akibat keracunan metanol dalam minuman keras di Selangor dan Kuala Lumpur.

- Bernama

Lihat Komen
ADS