Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Saksi-saksi yang dipanggil pasukan peguam bela yang mewakili anggota parlimen Cameron Highlands, C Sivarrajjh hari ini mengakui menerima wang daripada BN pada pilihan raya umum ke-14 lalu, tetapi menafikan ia untuk tujuan mengundi mereka.

Sebaliknya ketiga-tiga saksi pembelaan itu berkata wang yang diterima adalah untuk membantu mereka menampung perbelanjaan seperti pengangkutan.

Ketiga-tiga mereka memberi keterangan sebagai saksi dalam petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon DAP, M Manogaran (gambar), yang mendakwa Sivarrajjh yang juga Ketua Pemuda MIC memenangi kerusi itu melalui cara rasuah.

Bekas kakitangan awam Achom Lugi, 69, yang merupakan saksi pembelaan kedua dalam kes itu, meminda pernyataan bertulisnya dan mengeluarkan nama Sivarrajh daripada salah satu perenggan berhubung penerimaan sebanyak RM25,000 untuk diagihkan kepada Orang Asli.

Kenyataan yang dipinda itu berbunyi: Datuk Wan Rosdy ada menyumbang wang berjumlah RM25,000 di hadapan orang ramai di sebuah dewan. Datuk Wan Rosdy menyatakan wang ni diberikan kepada semua batin-batin bagi tujuan sumbangan untuk semua Orang Asli untuk membolehkan mereka keluar mengundi pada 9 haribulan 5 2018 atas faktor kos perbelanjaan kenderaan dan makan minum, kerana pusat mengundi adalah jauh dari kampung-kampung di Pos Lejang.

Wan Rosdy (foto) adalah ADUN jelai dan menteri besar Pahang sekarang.

Ditanya peguam bela, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengapa dia mengeluarkan nama Sivarrajh dari perenggan itu, Achom menjawab dia mempunyai ingatan yang lemah dan ia merupakan satu kesilapan.

Pada pemeriksaan balas oleh peguam Manogaran K Shanmuga, Achom berkata semua tok batin bersetuju mengedarkan RM40 kepada setiap penduduk yang dalam jagaan mereka.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak dapat memastikan sama ada tok batin tersebut melakukan seperti yang mereka katakan.

'Tak mengundi jika tak diberi duit'

Beliau juga menafikan wang itu bertujuan mempengaruhi undi Orang Asli, tetapi hanya untuk perbelanjaan mereka pada hari pilihan raya.

Beliau juga berkata mungkin Orang Asli tidak akan keluar mengundi jika bantuan tunai tidak diberikan kepada mereka.

Ini kerana katanya kebanyakan kampung adalah jauh dari pusat mengundi dan tidak semua penduduk memiliki motosikal atau kenderaan lain.

Berhubung soalan Hafarizam, Achom berkata ia merupakan "tradisi" bagi kerajaan negeri Pahang memberikan bantuan kepada Orang Asli untuk keluar mengundi.

Apabila ditanya supaya menjelaskan perkara itu oleh Shanmuga, Achom berkata bantuan itu tidak semestinya diberikan pada hari mengundi sahaja.

Sementara itu, pemimpin Umno tempatan, Jali Gayang berkata di Pos Senderut, beliau dapati antara RM200 hingga RM300 diberikan kepada setiap orang daripada tujuh Tok Batin setiap kali pertemuan di antara mereka, Sivarrajjh (foto) dan Wan Rosdy pada 30 April.

Bagaimanapun, beliau menafikan ia sebagai dorongan untuk mempengaruhi undi mereka.

Beliau juga berkata kira-kira RM50 diberikan oleh seorang ustaz di Pos Senderut kepada 144 orang penduduk untuk "menampung perbelanjaan" pada hari mengundi, tetapi sekali lagi menafikan ia sebagai satu bentuk dorongan.

Saksi terakhir hari ini, Yok Hem Yok Toh, mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) juga memberi bantuan kepada penduduk Orang Asli berkenaan, tetapi hanya kepada individu yang menyokong mereka.

"Mereka tak datang ke kampung kami kerana kami tidak menunjukkan sokongan kepada mereka," kata Yok Hem.

Sebaliknya, beliau berkata Wan Rosdy memberikan bantuan kepada semua Orang Asli tanpa mengira sama ada mereka menyokong "dacing"(BN), "roket" (DAP) atau "bulan" (PAS)".

Perbicaraan di hadapan Hakim Azizah Nawawi akan diteruskan pada 4 Oktober, manakala Wan Rosdy dijangka akan memberi keterangan.

Lihat Komen
ADS