Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah akui gadai rumah untuk dapatkan dana PRU14
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 7:07 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan dakwaan calon timbalan presiden parti itu Rafizi Ramli bahawa beliau dan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggadai rumah mereka untuk mengumpul dana bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Kami ada beberapa cara untuk menghadapi pilihan raya umum, salah satu daripadanya adalah melakukan pinjaman gadai janji," katanya.

Terdahulu, Wan Azizah merasmikan sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau menafikan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Azmin Ali tidak membantu dalam mengumpul dana untuk PRU14 seperti didakwa Rafizi.

"Dia bantu dengan cara sendiri," katanya.

Pada 9 September, Rafizi mendakwa Anwar dan Wan Azizah tidak mempunyai pilihan selain menggadaikan rumah mereka di Bukit Segambut untuk mendapatkan RM4 juta bagi membayar deposit calon bagi PRU14.

Dalam kempennya di Kuantan, Rafizi mendakwa menteri besar Selangor dan anggota exconya ketika itu gagal membiayai dana untuk parti itu.

"Mereka masih belum melunaskan pinjaman," kata Rafizi yang kerap menyerang Azmin secara agresif dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Kedua-dua mereka bersaing untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Pengundian untuk pemilihan PKR bermula pada 22 Sept. Ia akan berlangsung selama enam minggu dan berakhir pada 28 Oktober.

Lihat Komen
ADS