Paling Popular
Terkini

Ketika ramai pihak dilihat terkejut dengan tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar dari Umno, Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad menyifatkan ia sebagai "perkara biasa".

Ini kerana, katanya, Umno hanyalah parti politik dan bukannya agama.

"Dia nak keluar dia keluarlah, Umno bukan agama. (Keluar, masuk parti) perkara biasa dalam dunia ini dan bukan sahaja di Malaysia, malah bukan sahaja pemimpin bertukar ganti, kerajaan pun bertukar ganti.

"Cuma kita saja yang pelik dan (perkara itu) bukan masalah pun," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelas Alwi yang juga Anggota Dewan Negeri (ADUN) Kok Lanas, sejak penubuhan Umno, parti itu telah kehilangan tiga presiden, namun ia masih kekal bertapak lebih 60 tahun.

"Umno ini kita pernah hilang presiden. Tok Pa bukan presiden. Presiden Umno Tunku Abdul Rahman hilang masuk Semangat 46, begitu juga dengan Tun Hussien Onn. Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah keluar Umno, kemudian masuk balik dan keluar balik. Dah tiga presiden Umno hilang.

"Nak keluar Umno, keluarlah, Umno ada saja dekat situ," katanya kepada Malaysiakini.

Alwi berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin veteran Umno Kelantan, Datuk Norzula Mat Diah bahawa keputusan Mustapa keluar Umno akan menyebabkan parti itu bakal terkubur.

Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa malam tadi mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dengan parti itu.

Hari ini, kurang 24 jam Tok Pa bertindak demikian, bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman turut mengumumkan keputusan sama.

Cabar letak jawatan

Norzula dalam kenyataannya sebelum ini berkata beliau tidak menolak kemungkinan Umno Kelantan bakal terkubur jika pimpinan parti masih membisu dan tidak mengambil langkah drastik memulihkan kepercayaan rakyat kepada mereka.

“Semua orang tahu Tok Pa banyak berjasa kepada Umno, tapi lari dari perjuangan. Dengan pemergian Tok Pa, perjalanan Umno sudah bertambah sukar di Kelantan dan perjuangannya semakin malap.

“Umno mungkin terkubur kerana pemergian Tok Pa satu kehilangan besar, sebab Tok Pa seorang pemimpin veteran, Tok Pa merasakan Umno tidak mampu lagi dipulihkan selepas empat bulan parti itu tewas dalam pilihan raya umum (PRU) kerana tidak ada sebarang aktiviti yang meyakinkan oleh pemimpin pusat,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Norzula, beliau masih menaruh keyakinan untuk parti itu bangkit kembali.

Norzula berkata, pemimpin sedia ada termasuk Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa perlu mengambil langkah drastik.

“Annuar seorang pemimpin yang kuat bekerja dan saya merasakan beliau adalah salah seorang yang boleh memimpin dan memulihkan Umno Kelantan.

"Annuar juga pemimpin yang lantang mengkritik Pakatan Harapan untuk membangkitkan kembali kekuatan Umno. Di parlimen, beliau antara pemimpin yang berada di barisan depan.

“Beliau perlu kukuhkan Umno di Kelantan bersama Datuk Jazlan, kalau mereka tidak ada, Umno Kelantan akan lagi rabak,” katanya.

Mengulas lanjut, Alwi mencabar Mustapa melepaskan jawatan sebagai anggota parlimen Jeli sekiranya "masih memiliki maruah".

Alwi juga menyifatkan gaji yang diterima Mustapa "haram" sekiranya beliau kekal pada jawatannya itu.

"Pada saya siapa nak pergi, pergilah. Cuma pada saya, kalau dia (Mustapa) ada maruah dia kena lepaskan jawatan sebagai anggota parlimen dan ADUN.

"Sebab duit deposit bukan dia yang bayar, tapi parti yang bayar dan RM200 ribu duit perbelanjaan parti itu pun duit Umno. Dia tak akan terima gaji kalau tak dipilih atas nama Umno, jadi haram duit itu.

"Dan kalau dia betul kuat agama dia perlu letak jawatan terus kerana dia terima elaun RM15 ribu sebulan dan beri makan kepada anak isteri," tambahnya.

Mustapa yang menyandang kerusi Jeli sejak sekian lama memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,647 undi pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau juga mendapat undi paling banyak dalam pemilihan majlis tertinggi (MT) Umno.

Lihat Komen
ADS