Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman: Amla 'ISA baru' kerajaan Mahathir
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 9:57 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Presiden NGO Pemantau Malaysia Baru, Lokman Adam mendakwa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) adalah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang baru.

Kenyataan NGO yang rapat dengan Umno itu dikeluarkan sebagai membidas penahanan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), awal hari ini.

Lokman yang juga merupaan anggota Majlis Tertinggi Umno dalam kenyatan medianya hari ini mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan Amla untuk "menindas musuh politik".

"Pendakwaan berniat jahat ini dilakukan selepas Najib mengeluarkan bukti-bukti bahawa dana hampir AS$1 billion itu datangnya dari kerajaan Arab Saudi dan anak Raja Abdullah beberapa hari sudah.

"Ini juga membuktikan bahawa hari ini Amla sudah digunakan sebagai 'ISA' yang baru untuk menindas musuh politik regim zalim Dr Mahathir dan DAP.

"Melalui Amla, sesiapa juga yang pernah menerima dana Umno melalui cek Ambank Islamic, akaun amanah atas nama Presiden Umno, boleh didakwa di bawah Amla dan terdedah kepada ugutan," katanya.

Awal hari ini, Najib ditahan SPRM dan dijangka akan didakwa di mahkamah esok berhubung wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun banknya.

Pihak berkuasa mendakwa wang berkenaan adalah daripada dana 1MDB. Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan berulang kali ia adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Lokman turut menyifatkan Amla digunakan untuk "mematikan kebangkitan rakyat" dan khususnya kepimpinan Umno.

"Apabila seseorang itu didakwa di bawah Amla, pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan mereka menerima duit dari sumber haram.

"Sebaliknya, yang tertuduh perlu membuktikan dana yang mereka perolehi adalah bukan dari sumber haram seperti jenayah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

"Persoalannya, bagaimana kemasukan dana ini boleh dianggap sebagai dari sumber yang haram sedangkan ia masuk dengan mendapat kelulusan Bank Negara?" katanya.

Dakwa SPRM terima arahan Dr M

Beliau turut mendakwa SPRM menerima arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menentang musuh politiknya.

"Ada arahan dari Tun M kepada (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Shukri Abdull. Bapak penyamun (Datuk Seri) Shukri Abdull ni. SPRM ni digunakan sehabis baik oleh Mahathir.

"Kes ini berlaku sebaik saja Datuk Seri Najib mengemukakan dokumem-dokumen berkaitan derma sejak tahun 2011 dan disumbang oleh anak Raja Abdullah.

"Hari ni, semua pihak yang terima duit daripada sumbangan Saudi ni, semua akaun mereka dibekukan, termasuk akaun Umno, sekolah tahfiz, badan NGO, yang mana mereka semua terima sumbangan dari Datuk Seri Najib. Ahli-ahli MP disiasat bertubi-tubi oleh SPRM," katanya.

Peserta himpunan itu bersurai kira-kira jam 10.15 malam.

Ditemui selepas itu, Lokman berkata NGO yang diketuai beliau akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campurtangan baginda bagi menghentikan penyalahgunaan Amla di negara ini.

Beliau dijangka akan menyerahkan memoradum itu kepada pihak Istana Negara pada 8.30 malam, 26 Sept ini.

Lihat Komen
ADS