Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Tidak lama selepas berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa untuk lebih 60 tahun sejak Merdeka, Tun Mahathir Mohamad mencadangkan agar umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Ternyata Mahathir versi BN agak berbeza dengan Mahathir versi Pakatan Harapan. Mahathir versi BN kurang berminat, malah tidak menggalakkan orang muda – khususnya di universiti – untuk terlibat dalam politik.

Tetapi Mahathir versi PH ini melakukan tindakan yang sebaliknya, malah mahu meluaskan umur mengundi kepada pelajar sekolah – jika kita mengambil kira pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Cadangan ini tidak tinggal cadangan, baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan mengumumkan bahawa Jemaah menteri telah bersetuju dengan idea menurunkan umur mengundi ini.

18 umur mengundi yang wajar

18 tahun adalah umur yang diterima sebagai konvensi untuk umur layak mengundi di serata dunia. Di Asia Tenggara, umur mengundi bagi kebanyakan negara ialah 18 tahun, termasuk Myanmar.

Manakala, Indonesia meletakkan umur mengundi yang lebih rendah, 17 tahun. Hanya Malaysia dan Singapura yang masih mengekalkan umur mengundi pada 21 tahun – usia yang ditentukan sejak penggubalan Perlembagaan Tanah Melayu oleh Suruhanjaya Reid berdasarkan umur mengundi di British ketika itu.

Ya, British pada awalnya menetapkan umur mengundi pada usia 21 tahun sebelum dipinda kepada 18 tahun pada tahun 1969. Malah, sebelum 1832 hanya lelaki berusia 21 tahun ke atas dengan jumlah harta tertentu layak mengundi!

Wanita hanya mendapat layanan yang sama pada tahun 1928, berikutan hak yang sama juga diberikan kepada wanita di Amerika Syarikat pada 1920. Ertinya, UK dan AS bukanlah penanda aras terbaik pada dekad tersebut.

Sehingga tahun 1970-an, umur mengundi di kebanyakan negara Eropah umumnya pada usia 21 tahun. Bagaimanapun, pada tempoh ini juga kebanyakan negara mengambil inisiatif untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun.

Malah pada 2007, Austria menjadi negara pertama di Eropah yang menurunkan umur mengundi kepada 16 tahun – di Jerman, meskipun umur mengundi ialah 18 tahun, warga yang berumur 16 tahun layak untuk mengundi bagi pilihan raya kerajaan tempatan.

Dasar ini bukanlah terlalu asing apabila kita mempertimbangkan fakta bahawa negara di Amerika Latin seperti Brazil sejak tahun 1988 telah mengambil langkah yang sama. Selain Brazil, Argentina dan Austria, Cuba, Ecuador, Nicaragua juga meletakkan umur mengundi seawal usia 16 tahun. Manakala mereka yang berusia 16-18 tahun di Bosnia, Serbia dan Montenegro layak mengundi dengan syarat telah bekerja.

Di Malaysia, umur yang dianggap dewasa ialah 18 tahun yang membolehkan seseorang itu menandatangani kontrak dan juga didakwa di mahkamah sebagai seorang dewasa. Gesaan untuk menurunkan umur mengundi di negara ini telah bermula awal, namun tiada satu gerakan yang tersusun atau perkumpulan yang khusus memperjuangkannya. Cuma pada 2017, sekumpulan orang muda yang menggelar diri mereka Undi18 memperjuangkan isu ini secara khusus.

Umur mengundi dan pendemokrasian

Sepintas lalu, mungkin kita akan dengan segera membuat kesimpulan bahawa menurunkan umur mengundi adalah baik untuk demokrasi. Meskipun idea ini kedengaran logik, namun umur mengundi bukanlah pra-syarat utama kepada demokrasi. Malah mewajibkan undi itu sendiri bukan penentu demokrasi – sebagaimana di Singapura.

Bagi memudahkan kefahaman kita, mari kita semak indeks demokrasi di dunia pada 2017 oleh Economist Intelligence Unit (The EIU) yang menunjukkan banyak negara dengan umur mengundi yang jauh lebih muda daripada Malaysia berada di kedudukan yang lebih merosot berbanding Malaysia (tangga 59) seperti Indonesia (tangga 68), China (tangga 139) dan Thailand (tangga 137).

Adakah ini bererti menurunkan umur mengundi tidak membawa sebarang kebaikan kepada demokrasi? Tidak, tetapi menurunkan umur mengundi ini harus dilihat bersama-sama dengan penambahbaikan elemen demokrasi lain yang penting dalam membentuk kebebasan bagi membuat keputusan yang bermakna.

Elemen lain ini termasuklah kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan, dan lain-lain hak sivil. Dasar kerajaan HARAPAN berkenaan hal ini sebahagiannya masih lagi kabur – contohnya Akta Hasutan.

Pada masa yang sama, ada yang mencadangkan hal yang lebih penting daripada menurunkan umur mengundi ialah pendaftaran automatik sebagai pengundi. Pada masa kini, warganegara yang telah memenuhi kelayakan sebagai pengundi dan berminat untuk terlibat sebagai pengundi, harus mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. Proses ini dilihat oleh sebahagian orang muda – yang membentuk bilangan paling besar daripada tiga juta rakyat Malaysia yang belum daftar sebagai pengundi.

Maka di sinilah yang menjadikan penurunan umur mengundi ini akan membawa makna atau tidak dalam melebarkan ruang demokrasi.

Harus datang dalam pakej

Pindaan umur mengundi tanpa disertakan ‘pakej’ begini tidak akan membawa banyak perubahan sebagaimana yang berlaku melalui pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada 2012 yang membolehkan mahasiswa menyertai parti politik.

Perubahan ini tidak membawa banyak makna kerana secara umumnya semua persatuan dan kelab dalam kampus masih dikawal secara langsung mahupun tidak melalui Hal Ehwal Pelajar (HEP), khasnya daripada segi kelulusan program dan kewangan.

Kawalan ini juga mengehadkan lagi hak dan kebebasan belia dalam kampus untuk berorganisasi dan belajar untuk melibatkan diri dalam pentadbiran dan pengurusan persatuan.

Mereka tidak terdidik dengan autonomi untuk menetapkan program dan kebertangungjawaban kewangan. Seharusnya hal ini diserahkan sepenuhnya kepada mahasiswa agar mereka boleh belajar dan melihat sendiri batas idealisme mereka apabila bercakap soal ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Kita juga harus insaf bagaimana kebanyakan persatuan yang dikaitkan dengan belia di negara ini dikawal oleh orang tua. Belia kita tidak disediakan dengan peluang untuk membina kemahiran berorganisasi dan berpolitik. Daripada persatuan di peringkat kejiranan, sampailah kepada persatuan dan kelab sukan, semuanya dikuasai oleh orang tua (baca: orang politik). Jika ada orang muda sekalipun hanya sebagai ahli biasa.

Demikian juga dengan parti politik di mana orang muda hanya disudutkan di bahagian sayap pemuda – malah, ada pula parti politik yang memisahkan pemuda mereka mengikut gender seperti Umno yang ada Pemuda dan Puteri Umno. Lebih malang lagi, ada pula parti politik yang memencilkan orang muda hanya dalam sayap kampus seperti Mahasiswa Keadilan. Akhirnya isu-isu ‘arus perdana’ kekal untuk orang lelaki tua dan sayap-sayap pemuda serta kampus ini selayakkan hanya menjadi tukang ‘sorak’, tukang ‘gesa’, tukang ‘selar’ dan kaki ‘demo’ semata-mata.

Umur mengundi dan pendidikan politik

Jika kerajaan serius untuk mempertimbangkan cadangan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, antara langkah yang wajar disertakan sekali adalah pendidikan politik di sekolah. Pendidikan politik ini bukanlah sebagaimana yang difahami sekarang di mana pelajar diminta menghafal sumbangan tokoh dan parti tertentu.

Pendidikan politik yang dicadangkan lebih kepada pendidikan kewargaan (citizenship) yang membahaskan kedudukan rakyat dalam perjalanan sesebuah negara dan konsep-konsep asas demokrasi seperti ketelusan dan kebertanggungjawaban serta terjemahannya dalam bentuk amalan.

Hal ini bukanlah sesuatu yang sukar kerana telah banyak diamalkan di kebanyakan negara di dunia ini, cuma Malaysia harus meneliti dan membangunkan model yang bersesuaian.

Di negara ini, hanya parti PAS yang memiliki sistem perkaderan dan pendidikan politik yang paling meluas dalam kalangan orang muda – meskipun kita suka mahupun tidak dengan idea dan pendekatan mereka.

Ketika parti lain, baik dalam Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan, mula mendekati orang muda di institusi pengajian tinggi melalui forum dan bengkel pendidikan politik mereka, PAS telah lama membangunkan struktur organisasi dan pentarbiahan kepada orang muda semenjak umur 6 tahun! (Jika kita mengambil kira sekolah swasta PASTI yang diterajui oleh PAS).

Oleh yang demikian, penurunan umur mengundi tidak semestinya akan disambut dengan baik oleh parti dalam Pakatan Harapan kerana menyedari kelemahan mereka ini.

Akhirnya, sama ada kita melaksanakan saranan kabinet Mahathir ini atau tidak, orang muda akan terus melibatkan diri dalam politik, walaupun mungkin bukan di dalam ruang politik formal.


HARIS ZUAN ialah pensyarah di Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), UKM.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS