Sebuah mahkamah Pakistan pada hari Rabu telah menggantung sabitan bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif dan mengarahkan agar beliau dibebaskan dengan jaminan, lapor agensi berita China Xinhua.

Keputusan itu dibuat beberapa bulan selepas Nawaz dihukum penjara 10 tahun bagi kesalahan rasuah, kata pegawai mahkamah dan peguam.

Mahkamah Tinggi Islamabad turut mengarahkan anak Nawaz, Maryam dan suaminya iaitu seorang kapten tentera bersara Mohammad Safdar, dibebaskan.

Keputusan itu dilihat sebagai satu rangsangan yang besar kepada pembangkang Parti Liga Muslim-Nawaz Pakistan (PML-N) susulan kekalahannya dalam pilihan raya umum 25 Julai.

Maryam, 44, telah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.

Mahkamah turut mengenakan denda sebanyak US$10.5 juta terhadap Nawaz selain mengarahkan agar pangsapuri beliau di Park Lane, London dirampas dan diserah kepada kerajaan Pakistan.

Nawaz, yang menjalani hukuman penjara berhampiran Islamabad, telah memohon kepada mahkamah agar hukuman itu ditangguh.

Mahkamah Agung Pakistan telah memecat Nawaz daripada jawatan perdana menteri pada Julai 2017 atas dakwaan rasuah dan mengarahkan badan pemantau antirasuah, Biro Akauntabiliti Nasional (NAB), untuk memulakan prosiding terhadap beliau dan keluarganya.

Nawaz, 68, turut dilarang menceburi bidang politik sepanjang hayatnya.

NAB telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Agung bagi menghalang Mahkamah Tinggi Islamabad mendengar rayuan Nawaz namun permohonan itu telah ditolak.

-- BERNAMA