Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia terus melancong walaupun nilai ringgit susut
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 7:30 AM
Dikemaskini: 11:33 PM

Walaupun nilai ringgit Malaysia merosot, rakyat Malaysia masih terus melancong ke destinasi tempatan dan juga asing, demikian menurut Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Setiausaha Kehormatnya, Nigel Wong berkata, agensi pelancongan menawarkan kadar dan insentif khas kepada pengguna, terutama semasa pameran MATTA di mana harga tambang menjadi sangat berdaya saing dan ini mendorong rakyat Malaysia untuk melancong.

Beliau juga berkata, penurunan nilai ringgit tidak menjejaskan prestasi jualan mereka, tetapi sebaliknya meraih keuntungan.

“Jualan sasaran kami untuk pameran MATTA di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berakhir pada 9 Sept adalah RM200 juta, dan walaupun angka akhir masih lagi diterima, disahkan yang ia telah melepasi sasaran kami," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Pameran MATTA 2018 Pulau Pinang selama tiga hari mulai pada 28 Sept akan menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai RM330,000.

"Pengunjung layak menyertai cabutan bertuah dan tiga pemenang bertuah akan menerima tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Bangkok, Kuala Lumpur ke Hanoi, dan Kuala Lumpur ke Melbourne, dengan penginapan masing-masing tiga malam untuk setiap set.

Sementara itu, Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd akan menganjurkan cabutan penebusan sepanjang acara tiga hari tersebut, yang akan menyaksikan 200 baucar pakej darat empat hari tiga malam di Gold Coast, Australia bernilai RM999, untuk pelanggan yang mempunyai deposit minimum RM2,000 dalam satu resit di mana-mana gerai pameran peserta.

Pengarah Urusan, Kenny Chong berkata, Hwajing sentiasa menyokong MATTA dan melabur paling banyak untuk Pameran MATTA 2018 Pulau Pinang yang akan datang.

"Kami telah melabur lebih daripada RM100,000 dalam pameran ini, di samping penajaan," kata Chong.

Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd adalah antara pelopor dalam industri pelancongan yang khusus dalam pelayaran.

-- BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS