Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Tok Pa meributkan ramai orang kelmarin. Ya, Tok Pa yang tenang itulah. Tok Pa yang begitu disayangi orang Jeli khususnya itulah dan orang Kelantan sebahagiannya, juga rakyat Malaysia umumnya mengenali Tok Pa atau Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Batang tubuh yang tidak asing dalam politik Malaysia, kepimpinan Umno dan pentadbiran kerajaan Malaysia yang sudah berlalu.

Tok Pa dikenali sebagai tokoh atau pemimpin yang tenang dalam segenap tingkah laku dan tegas perwatakannya.

Sebelum Tok Pa membuat 'kejutan', rentetan rebahnya BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu saya sudah membuat jangkaan secara kasar bahawa Tok Pa dan beberapa pemimpin berkemungkinan akan keluar Umno.

Saya nyatakan perkara itu kepada seorang sahabat seperjuangan (pengamal media) yang juga wartawan Utusan Malaysia yang sudah bekerja di Kelantan hampir 10 tahun, sebelum dia ditukar untuk berkhidmat di utara tanah air menjelang PRU14.

Sahabat itu menegaskan betapa mustahil untuk Tok Pa berbuat demikian dan saya boleh saja bersetuju dengan pendapatnya tetapi berkata ada juga yang tidak bersetuju dengan hujah-hujah yang dilontarnya itu.

Susulan berita Tok Pa keluar Umno, malam tadi sahabat saya itu terus menelefon saya. Kami berbincang, bertukar idea dan pandangan sedikit sebanyak mengenai Tok Pa serta situasi politik semasa selain jangkaan akan datang.

Komentar keluar Umno

Sudah pelbagai komentar dikeluarkan oleh pemain politik daripada pelbagai parti berhubung tindakan anggota parlimen Jeli itu termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta bekas ketua pemuda Umno.

Pertanyaan mengenai mengapa Tok Pa keluar Umno sekarang mungkin mudah dijawab dengan "politik itu sentiasa berubah" sifatnya atas pelbagai faktor dan pengaruh semasa.

Namun, penelitian yang dilontar Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu dihadam khususnya kepada penyokong Umno.

Tok Pa adalah tulang belakang BN di Kelantan yang sudah berjuang lebih 20 tahun untuk membawa perubahan dalam lanskap politik dan pembangunan fizikal di negeri itu.

Bagaimanapun, bekas pengerusi BN Kelantan itu gagal mencapai satu-satunya matlamat besar parti yang diwakilinya iaitu merampas Kelantan daripada PAS.

Selama ini Umno Kelantan gigih berusaha untuk menawan hati rakyat Kelantan dan mereka hampir berjaya pada pilihan raya umum 2004 dan kini sesudah mereka rebah parti itu meraba-raba mencari talian hayat, termasuk strategi berbaik-baik secara lebih erat dengan PAS yang diseterui sejak sekian lama.

Kita boleh bersetuju dan tidak setuju dengan hujah Khairy bahawa faktor kerjasama dengan PAS barangkali boleh dijadikan paksi keputusan Mustapa. Sebagai salah seorang yang kuat menentang PAS di Kelantan.

Seingat saya, menjelang PRU14 dan ketika itu Umno begitu lunak terhadap PAS tetapi Tok Pa dengan selamba atau mungkin terlepas cakap menghentam PAS sebagai parti bernafsu besar tetapi lemah syahwat.

Itu kali terakhir Tok Pa tunjuk aksi melawannya terhadap PAS dalam sesi ceramah, mungkin ada sesuatu sebab yang terpaksa diakurnya sesudah itu.

Ketika itu, sebagai ketua di peringkat negeri beliau sudah tentu akan mengikuti setiap gerak dan arahan kerja pimpinan pusat.

Anak kelahiran Bachok itu sudah empat penggal menumpah khidmat baktinya kepada rakyat Jeli, daerah diliputi hutan belukar, buahan kayu dan penduduknya yang lebih mesra dengan khazanah alam.

Tok Pa tidak segan silu untuk benar-benar membaca denyut-nadi penduduk di kawasan kekuasaannya, masuk ke dapur-dapur rumah rakyat, mengintai ikan masin, ayam gulai malahan mangkuk budu yang menjadi santapan warga marhaen.

Menyelinap di saf surau kecil

Itulah Tok Pa yang sering bertenggek di tangga-tangga rumah orang kampung, menyelinap di saf depan surau-surau kecil dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.

Tok Pa selalu dilabel sebagai pemimpin jujur dan bersih bukan sahaja di Kelantan, malah di peringkat pusat. Dan disebabkan itu beliau diberi kepercayaan untuk menjadi dalang untuk melicinkan gerak kerja di Kelantan.

Sayang seribu kali sayang, selepas Umno tertiarap Tok Pa tidak lagi dipilih (atau mungkin beliau enggan) untuk terus memimpin Umno Kelantan.

Sepanjang berpangkalan di Kota Bharu sejak setahun lalu, saya banyak mendekati acara-acara yang melibatkan Tok Pa.

Disebabkan momokan persepsi bahawa Malaysiakini dan sebahagian media lain adalah portal pembangkang, menjadi kesukaran untuk saya lebih mesra dengan pemimpin Umno dan juga PAS.

Malah, ramai ahli akar umbi Umno dan PAS juga memberi respon negatif setiap kali saya cuba menebual mereka. Saya kira ia sejenis penyakit paranoid hasil tuntutan walak membabi buta.

Dan saya bekesempatan meluahkan perasaan kepada Tok Pa dan sebahagian pimpinan Umno Kelantan dalam satu majlis hari raya bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), kelab yang sentiasa didampingi Tok Pa sekali gus menggambarkan jiwa besar beliau mengakrabkan hubungan dengan media.

Entah keterlaluan atau tidak, saya katakan pada mereka yang ketika itu sudah bergelar pembangkang, betapa Umno begitu rugi kerana bersikap paranoid tidak bertempat terhadap media seperti kami dan saya yang bertugas di Kelantan khususnya.

Tegang pipi senyum meleret

Jika ada sesuatu isu yang perlu diberikan respon, pimpinan Umno Kelantan akan kunci mulut setiap kali saya telefon. Jarang sekali antara mereka yang menjawab panggilan atau melalui WhatsApp.

Mungkin ketika itu mereka selesa dengan media arus perdana dan tidak mempercayai kebebasan dan keterbukaan laporan berita yang kami hidangkan.

Di sisi lain, Tok Pa seorang yang begitu senang mendamping rakan-rakan petugas media arus. Setiap kali balik ke Kelantan, akan ada sesi berbual santai antara beliau dan mana-mana wartawan.

Sesi itu biasanya berlangsung dalam kereta ketika perjalanan dari Kota Bharu ke Jeli atau sebaliknya. Seorang rakan media akan menjadi pemandu dan Tok Pa akan duduk di sebelah diikuti rakan-rakan media lain di kerusi belakang kereta.

Setiap kali bersapa dengan mana-mana pengamal media beliau akan bersalam dan bertanya: "Lagu mana puak kita?"

Kemudian Tok Pa akan senyum meleret menegangkan kulit pipi di wajahnya.

Saya tidak berkesempatan untuk semesra itu dengan Tok Pa dan dari jauh pun perlu diakui ketenangan dan kewibawaan Tok Pa terserlah . Beliau tidak cepat melatah.

Cuma pada penampilan pertama bersama media Kelantan, beliau kelihatan begitu kekok sebagai pembangkang. Seperti sesuatu yang begitu asing menyelinap ke dirinya yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Dan Tok Pa yang setenang itu, lagu mana puak kita?


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

 

Lihat Komen
ADS