Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Sejak 1951 iaitu tarikh kelahiran PAS hingga pertengahan 2018 ia berseteru politik dengan Umno sekalipun bersama-sama dalam saf solat Jumaat dan Aidilfitri, serta sekapal terbang naik haji.

Cakap Melayunya macam anjing dan kucing, cakap Islamnya macam Aus dan Khazraj di Madinah sebelum kedatangan Islam. Aus dan Khazraj saling berbunuh. Di Lubuk Mebau, Kedah dan Memalipun ada orang PAS terbunuh.

Sejurus selepas merdeka orang Melayu mula memperkatakan perpecahan orang Melayu di kampung-kampung dan di kota justeru adanya PAS dan Umno. Ia bertambah gawat 10 tahun menjelang kejatuhan Umno/BN.

Orang Islam yang tidak berpolitik dan para mufti yang dipercayai dipengaruhi pemimpin Umno menyarankan PAS dan Umno mesti bersatu. Mereka membawa seruan orang Islam seluruhnya.

Ada mufti bertanya saya, adakah PAS bersetuju justeru Umno lahiriahnya dikatakan positif?

Jawab saya, sekalipun PAS ada hujah tentang sengketa politik kedua-duanya, sulit bagi PAS menolaknya kerana ia adalah seruan orang Melayu, sedangkan kedua-duanya mendakwa berpolitik demi membela rakyat.

Orang Melayu marah jika PAS menolak ketika Umno dikatakan positif. Apakah positif Umno sekadar di bibir, tidak di hati?

Harap rampas Kelantan

Umno meraih keuntungan jika PAS menolak kerana Melayu yang tidak berpolitik itu mengira PAS menjadi punca perpecahan Melayu itu.

Warga Melayu atas pagar akan marahkan PAS dan mereka terus memberi undi kepada Umno kerana Umno dilihat berpolitik demi menyatukan orang Islam.

Bagaimana hubungan seperti Aus dan Khazraj itu dapat dirungkai? Permusuhan kedua-duanya selesai dengan kedatangan Islam di Madinah.

Adapun Umno dan PAS sudah sedia Islam. Tetapi tidak nampak Islam terpelihara di bawah 63 tahun kerajaan Umno, bahkan Islam kian goyang.

PAS tidak boleh menolak tuntutan rakyat, tetapi demi menjadi parti masa depan Islam dan Melayu, ia mesti melakukan perubahan menjelang PRU ke-14.

'Beruzlah' dengan Pakatan Rakyat dominasi DAP, beralih menjadi pembangkang di bawah budaya politik matang dan sejahtera, bertaawaun dengan Umno/kerajaan dalam menegakkan amar makruf dan nahi mungkar, tidak bersama dalam keburukan dan maksiat.

Sekalipun Umno berkata ia mahu bersama PAS tetapi tiada langkah positif diambilnya kerana ia mengharapkan untuk merampas Kelantan dalam PRU ke-14.

Ia tidak positif dengan RUU355. Tidak nampak ruang boleh berkawan selama Umno berkuasa, apa lagi kalau Kelantan dapat dirampas.

Hubungan negatif PAS-Umno selagi Umno berkuasa ialah seperti 63 tahun dulu juga. Bahkan perubahan politik matang dan sejahtera PAS yang menyebabkan ia kehilangan setengah penyokong tradisi.

Doa propenyatuan seolah-olah tidak makbulkan kiranya BN dapat mempertahankan kuasanya.

Rupanya gencatan senjata kedua-duanya menjadi mungkin dengan Umno mesti kalah terlebih dulu. Kekalahan Umno dalam PRU ke-14 boleh merapatkan Umno.

Tiada yang menyangka rombongan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu dalam Muktamar PAS ke-64 di Terengganu pada awal Hijrah/Muharam lalu.

Zahid menggantikan tempat Lim Kit Siang di pentas pemimpin PAS dalam muktamar-muktamarnya yang lalu.

Sekalipun PAS meneruskan tradisinya bersama muafakat pembangkang, tetapi Zahid adalah pimpinan Umno yang pertama berpendidikan rasmi Islam. Mungkin ia melayakkan persaudaraan Aus-Khazraj dalam kalangan Ansar dulu.

Pada muktamar itu Umno datang kepada PAS. Tiada masalah PAS pergi kepada Umno kerana PAS pegang mesej dakwah: kalau gunung tidak datang kepada Muhammad, maka Muhammad pergi kepada gunung.

Pada muktamar sulung didatangi Umno, PAS tidak meletakkan PAS memimpin tetapi mengalu-alu dengan temanya Islam Memimpin seperti penyatuan Aus-Khazraj.

Apakah PAS dan Umno bakal bersatu? Belum. Mereka baru berdua.


SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di harakahdaily dengan judul Jadikah PAS, Umno Seperti Aus, Khazraj?.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS