Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
21 tuduhan jenayah menanti Najib
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 11:41 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Sebanyak 21 tuduhan akan dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak di mahkamah hari ini selepas polis mendapat persetujuan daripada Pejabat Peguam Negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pendakwaan berkenaan adalah berkaitan dengan penerimaan, penggunaan dan pemindahan wang haram bernilai RM2.6 bilion.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Noor Rashid berkata sebanyak sembilan pertuduhan yang akan dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu melibatkan penerimaan wang haram, lima tuduhan menggunakan wang haram dan tujuh memindahkan wang haram kepada entiti lain.

Menurut Bernama juga Najib ditahan polis pada hari ini di pekarangan pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram di Kuala Lumpur.

“Penahanan dan pertuduhan Najib oleh polis dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001," katanya.

Ketika kenyataan itu dikeluarkan, Najib masih berada bersama-sama pasukan siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman di Menara KPJ.

“Najib akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 4(1) AMLATFA 2001,” katanya.

Kata Noor Rashid tangkapan dan pertuduhan ke atas Najib dibuat dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Najib tiba di Menara KPJ kira-kira jam 9.20 pagi tadi menaiki Alphard hitam untuk diambil keterangan berhubung kes itu.

Semalam, Najib ditahan SPRM pada pukul 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Najib dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tengah hari ini bagi pertuduhan di mahkamah berhubung semua pertuduhan itu.

Lihat Komen
ADS