Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam berkhidmat kepada kerajaan semasa
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 3:32 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Penjawat awam diminta menerima dengan baik perubahan kerajaan kerana mereka bukan berkhidmat kepada parti politik, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata penjawat awam perlu sedar bahawa mereka berkhidmat kepada kerajaan semasa dan untuk itu perkhidmatan yang terbaik perlu terus ditawarkan kepada rakyat.

“Kalau kita tidak memberikan yang terbaik rakyat akan marah. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya ketika berucap pada Sesi Bual Bicara Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Dalam sidang media kemudiannya, Ismail berkata perubahan sesebuah kerajaan adalah atas kehendak rakyat dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi ia adalah sesuatu yang betul.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Gazali Jalal berkata terdapat seramai 85,710 penjawat awam persekutuan di negeri itu dengan kebanyakannya adalah guru, polis dan tentera.

Katanya bilangan penjawat awam negeri pula seramai 13,505 dengan 12,752 daripadanya bertaraf tetap, manakala 753 orang lagi merupakan kakitangan kontrak.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS