Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasuah projek SAMUR: Suami isteri dihadap ke mahkamah

Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini masing-masing atas 20 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM312,100.

Suryono Samdul, 58, yang merupakan bekas jurutera di sebuah anak syarikat milik Petronas dan pemegang status penduduk tetap, serta isterinya, Lyana Abdullah, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Suryono, yang ketika kejadian berkerja sebagai QC engineer bagi Petronas Technical Services Sdn Bhd, menghadapi 20 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM312,100 daripada pengarah Syarikat LJ Inspection and Services Sdn Bhd dan ketua pegawai eksekutif Syarikat Pioneer Engineering Sdn Bhd.

Kesemua wang suapan tersebut didakwa dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik isterinya, LS Lyana Enterprise.

Ia adalah sebagai upah kerana mencadangkan pelantikan kedua-dua syarikat tersebut sebagai sub kontraktor kepada Syarikat Rekind (M) Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja non-destructive test bagi projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sabah.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan di Public Bank, Cawangan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam, antara 9 Jun 2015 dan 26 Sept 2017, serta didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lyana, yang merupakan surirumah sepenuh masa pula menghadapi 20 pertuduhan bersubahat dengan suaminya melakukan kesemua kesalahan itu dan didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c ) dibaca bersama Seksyen 17 (a) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, pasangan suami isteri itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan minta ikat jamin RM100,000

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohd Firdaus Abu Hanipah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan setiap seorang dengan seorang penjamin rakyat tempatan atas alasan kesalahan yang dilakukan serius.

Peguam Akmal Wahidah Abd Halim yang mewakili Suryono dan Lyana bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang rendah atas alasan pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak berusia 19 dan 18 tahun yang masih menuntut di kolej selain mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Hakim Rozilah kemudian membenarkan Suryono dan Lyana masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM80,000 dan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan serta seorang penjamin rakyat tempatan setiap seorang dan menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan suami isteri itu menyerahkan pasport mereka ke mahkamah sehingga kes selesai.

Mereka membayar wang jaminan.
 

- Bernama

Lihat Komen
ADS