Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada laluan mudah untuk Anwar di Port Dickson'

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mendapat kemenangan mudah di PRK Port Dickson walaupun Umno belum tentu bertanding di situ, kata setiausaha agungnya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata ini kerana pembangkang tidak akan membiarkan Anwar menang tanpa bertanding begitu saja.

"Seronoknya PRK Port Dickson ini sebab ia istimewa - Anwar yang akan bertanding dan kita pula tiada tekanan, nak bertanding boleh tak nak bertanding pun boleh.

"Kalau tidak (bertanding), ramai yang nak bertanding. PAS dan BEBAS pun nak. Yang pasti Anwar tidak akan menang tanpa bertanding," katanya dalam sidang media di taklimat Perhimpunan Agung Umno 2018 di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Annuar berkata lagi, Umno sendiri tidak akan memberi laluan mudah kepada presiden PKR itu walaupun tidak meletakkan calon, dan berkata pihak pembangkang akan memberi tentangan sengit kepadanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 September ini sebagai hari penamaan calon dan 13 Oktober untuk hari mengundi.

PAS juga belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon untuk PRK itu.

Bagaimanapun presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyuarakan sentimen sama bahawa Anwar tidak akan diberi laluan mudah, dan akan menghantar calon jika tiada parti lain yang mahu berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata Umno akan membuat keputusan sama ada mahu bertanding dalam PRK Port Dickson dalam mesyuarat biro politik parti pada 24 September ini.

"Dan perbincangan dengan PAS berkenaan PRK itu selepas Umno membuat keputusan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS