Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Datuk Seri Najib Razak mengalu-alukan perbicaraan terhadapnya berhubung dana RM2.6 bilion dan menyifatkannya sebagai peluang untuk membersihkan namanya.

"Isu RM2.6 bilion telah diguna habis-habisan untuk mengutuk, memburuk dan mencaci saya selama ini. Dengan pertuduhan hari ini, ia akan beri peluang kepada saya untuk membersihkan nama.

"Saya bukan seorang pencuri. Dan mudah-mudahan perjalanan (perbicaraan) akan berkesudahan dengan kebenaran ditegakkan," katanya kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Najib hari ini dibebaskan dengan ikat jamin RM3.5 juta yang perlu dijelaskan paling lewat 28 september ini.

Beliau dihadapkan empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) - Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Bekas perdana menteri itu berkata beliau berharap perbicaraan itu akan menunjukkan "kedaulatan undang-undang memang wujud di negara ini".

"Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan yang boleh dianggap sebagai subjudice kepada kes ini. Tetapi tentulah pasukan pembela ada fakta-fakta yang memihak kepada kita.

"Dan kami yakin, apa yang kami harap, ialah keputusan (perbicaraan) akan dapat menunjukkan kedaulatan undang-undang wujud di negara ini," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada pendakwaan yang dibuat ke atasnya hari ini bertujuan menjatuhkannya, Najib berkata beliau tidak mahu membuat sebarang dakwaan.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan beliau bermalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - bukan di lokap - selepas ditahan semalam.

"Terima kasih kepada SPRM dan PDRM atas layanan yang baik. Saya tiada masalah untuk lalui proses ini asalkan saya mendapat keadilan, saya mahu keadilan agar diberi peluang membersihkan nama saya," katanya lagi.

'21 pertuduhan tak menggemparkan'

Ketika sidang media, bekas presiden Umno itu berkata tidak terkejut dengan 21 tuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.

Beliau berkata pertuduhan terhadapnya terbahagi kepada tiga kategori dan ia termasuk wang yang "telah dipulangkan semula".

"Inilah yang perlu saya terangkan, mungkin ada pihak yang terkeliru (dan merasakan) 21 pertuduhan ini menggemparkan.

"Jika lihat sekali imbas memang menggemparkan. Tetapi jika kita memahami fakta sebenarnya dan buat perkiraan, kita akan simpulkan bahawa saya telah memulangkan sejumlah besar (wang) sebaik selepas PRU ke-13.

"Mudah-mudahan kesimpulan yang berpihak kepada kebenaran akan timbul dalam perbicaraan saya nanti," katanya.

Najib berkata jumlah yang dipulangkannya tidak jauh berbeza dengan RM2.6 bilion yang diterimanya.

Lihat Komen
ADS