Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sri Ram ingatkan mahkamah campur tangan Najib dalam siasatan 1MDB

Pihak pendakwaan yang diketuai Tan Sri Gopal Sri Ram hari ini membantah keras permohonan ikut jamin terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana menurut bekas hakim mahkamah persekutuan itu, Najib sebelum ini mengganggu siasatan dan mengingatkan mahkamah bahawa kes ini merupakan 'kes kleptokrasi paling buruk di dunia'.

Sri Ram memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa Najib yang pernah memegang jawatan eksekutif tertinggi dalam kerajaan telah melanggar amanah yang diberikan oleh rakyat.

"Tertuduh telah campur tangan dalam siasatan sejak tahun 2015.

"Kes ini melibatkan individu yang memegang jawatan tertinggi dalam eksekutif negara dan dia menghadapi tuduhan serius melibatkan banyak wang (negara) dan dia mesti menyedari betapa teruknya kesalahan itu dan orang awam juga tahu keseriusannya," katanya kepada mahkamah.

Beliau turut memetik kenyataan Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions) yang mengatakan kes ini adalah kleptokrasi paling buruk yang telah meletakkan Malaysia di peta dunia.

Meskipun Sri Ram tidak menjelaskan mengenai campur tangan itu, beliau dipercayai merujuk kepada gangguan terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini yang menyaksikan pegawai dipindahkan dan polis diminta menahan pendakwa SPRM.

Tindakan Najib pada akhir Julai 2015 itu menyaksikan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan petugas khas 1MDB disingkirkan dan digantikan oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sri Ram juga mengetengahkan pelbagai posting Najib yang dibuat di media sosial yang merupakan cubaan untuk mempengaruhi pendapat umum dan mengganggu siasatan sebagai sebab mengapa ikat jamin tidak diperlukan.

Ini menyebabkan bantahan daripada peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee mengkritik tindakan pihak pendakwa yang cuba menghalang anak guamnya daripada membuat sebarang komen mengenai kes tersebut dengan mengatakan terdapat kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng).

"Ini datang dari kerajaan yang mahu mempromosikan kebebasan bersuara dan kini anda cuba menghina anak guam saya," katanya sambil menambah bahawa ikat jamin sebanyak RM500,000 adalah mencukupi.

Wang jaminan mesti dibayar pada 28 Sept

Pendakwa meminta jaminan sebanyak RM5 juta dengan dua penjamin dan syarat-syarat lain termasuk Najib tidak boleh hadir di khalayak ramai atau membuat kenyataan mengenai kes itu.

Terdahulu bekas perdana menteri itu tiba di mahkamah pada pukul 1.50 petang dan dibawa ke mahkamah untuk menghadapi empat pertuduhan kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada penghujung sesi, hakim Azura Alwi membenarkan ikat jamin sebanyak RM3.5 juta dengan dua penjamin tetapi tidak mengenakan syarat seperti yang diminta pihak pendakwaan.

Hakim memerintahkan supaya jumlah itu dibayar pada 28 September dan menetapkan 16 Nov untuk sebutan kes.

Shafee memberi jaminan bahawa wang ikat jamin sebanyak RM1 juta akan dibayar esok.

 

Lihat Komen
ADS