Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tok Pa: Saya hanya hadir bantu siasatan polis berhubung dana Umno K'tan
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 9:46 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan bahawa beliau disiasat polis seperti didakwa Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Sebaliknya kata Mustapa beliau hanya hadir bagi membantu siasatan berkaitan dana yang diterima Badan Perhubungan Umno Kelantan yang disyaki daripada dana 1MDB.

"Saya ingin menjelaskan dakwaan YB Tan Sri Annuar Musa bahawa saya dan beberapa wakil Badan Perhubungan Umno Kelantan telah dipanggil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai dana yang diterima Badan Perhubungan Umno Kelantan yang disyaki ada kaitan dengan 1MDB.

"Saya hadir membantu siasatan tersebut atas kapasiti sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Annuar hari ini mendakwa Mustapa disiasat polis seminggu sebelum beliau membuat pengumuman untuk keluar Umno.

Annuar juga mendakwa selain anggota Parlimen Jeli itu, turut disiasat ialah dua lagi pemimpin Umno Kelantan.

"Saya boleh sahkan Umno Kelantan termasuk Tok Pa (Mustapa) disiasat polis 10 hari lalu.

"Beliau terima sejumlah dana yang agak besar dan ia disiasat oleh PDRM," kata Annuar dalam sidang media di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Mustapa, pihak polis telah melakukan tugas mereka dengan profesional dan beliau sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa itu untuk melakukan siasatan.

"Saya menghormati keluhuran undang-undang. Walaupun tidak lagi bersama Umno, saya akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dalam hal ini sekiranya diperlukan," katanya.

Mustapa pada 18 Sept lalu mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan keluar Umno dan meletakkan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti itu.

Bekas menteri perdagangan, antarabangsa dan industri itu berkata beliau membuat keputusan itu kerana berpendapat hala tuju Umno kini tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan beliau.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS