Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya sepatutnya di situ, akui Anwar ketika saksi Dr M angkat sumpah PM
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 11:13 PM
Dikemaskini: 3:27 PM

Ketika menyaksikan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui merasa beliau sepatutnya berada di tempat itu.

Anwar yang ketika itu masih menjalani hukuman penjara, menonton upacara angkat sumpah berkenaan dari wad hospital selepas selesai melakukan pembedahan.

Dalam satu sesi dialog selama dua jam bersama pelajar Singapura di Singapore Management University (SMU) Khamis lalu, Anwar menjawab soalan mengenai apa yang bermain di fikirannya ketika menonton upacara berkenaan.

"Anda mahu saya jujur ​​atau bercakap secara politik? Secara politik sudah tentu saya gembira, semua orang sangat gembira. Tengok, Mahathir angkat sumpah, era baru untuk Malaysia," katanya dipetik Channel News Asia.

"Beliau keluarkan kenyataan mengatakan apabila Pakatan Harapan menang, mereka akan hantar permohonan kepada Agong untuk pengampunan serta merta.

"Tetapi saya juga merasakan bahawa saya sepatutnya berada di situ, anda tahu? Saya sepatutnya, saya".

"Saya tidak mahu berbohong kepada kamu, saya fikir - saya sepatutnya bukan kamu (Dr Mahathir)," katanya yang mengundang ketawa daripada mereka yang hadir.

Anwar juga memberitahu pelajar-pelajar berkenaan bahawa adalah tidak adil untuk membandingkan republik itu dengan Malaysia dari segi perubahan lanskap politik.

Menurut Anwar negara ini menghadapi masalah yang buruk akibat rasuah dalam pentadbiran sejak PRU14.

Dalam dialog itu juga beliau turut ditanya mengenai pertembungan antara kumpulan Datuk Seri Azmin Ali dan pencabarnya, Rafizi Ramli yang bersaing merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Anwar yang memenangi jawatan presiden tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu menegaskan bahawa persaingan antara keduanya tidak akan memecahbelahkan PKR.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata perbezaan pandangan mesti diraikan dalam semangat demokrasi.

"Tetapi tugas saya sebagai presiden untuk membawa mereka bersama dan memberi peranan yang sesuai untuk mereka yang tewas dalam pemilihan parti, kerana ini adalah pemilihan di kalangan anggota keluarga,"katanya.

Lihat Komen
ADS