Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiadakah sekelumit kasihan pada nenek?'
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 11:45 PM
Dikemaskini: 4:09 PM

Anak perempuan kepada Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa  meluahkan rasa sedih terhadap tindakan pihak polis menyerbu kediaman neneknya, Tun Rahah Mohammad Noah di Kuala Lumpur petang tadi.

"Perlukah seorang wanita tua yang berusia 87 tahun terpaksa melalui satu pengalaman pahit seperti ini?

"Saya faham polis menjalankan tugas mereka sebagaimana diarahkan kuasa yang ada, tetapi tidak adakah sekelumit rasa belas kasihan terhadap seorang wanita berusia begitu, isteri kepada bekas perdana menteri dan seorang wanita yang banyak berjasa kepada asas negara ini?' luahnya menerusi Instagram.

Tun Rahah merupakan isteri kepada perdana menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan ibu kepada Najib, bekas perdana menteri keenam yang kini menghadapi tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Menurut Nooryana pada usia emas itu, neneknya kini banyak menghabiskan masa untuk beribadah.

"Apatah lagi pada saat penuh dugaan ini melihat anaknya berdepan pelbagai ujian.

"Pada usia rapuh itu, kami melakukan sedaya upaya kami untuk melihat nenek dalam keadaan sihat kerana nenek amat kami sayangi," katanya.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Saya sedih apabila mendapat tahu polis lakukan serbuan di rumah nenek saya jam 4 petang tadi ketika bapa saya bersama ahli keluarga lain di mahkamah. Kita pun tertanya-tanya mengapa tiada foto terhadap serbuan ini. Sebabnya? Tiada apa ditemui dan pulang dengan tangan kosong. Perlukah seorang wanita tua yang berusia 87 tahun terpaksa melalui satu pengalaman pahit seperti ini? Pada usia begitu, "Tok" saya banyak menggunakan masa beribadah apatah lagi pada saat penuh dugaan ini melihat anaknya berdepan pelbagai ujian. Pada usia rapuh itu, kami melakukan sedaya upaya kami untuk melihat nenek dalam keadaan sihat kerana nenek amat kami sayangi. Saya faham polis menjalankan tugas mereka sebagaimana diarahkan kuasa yang ada, tetapi tidak adakah sekelumit rasa belas kasihan terhadap seorang wanita berusia begitu, isteri kepada bekas Perdana Menteri dan seorang wanita yang banyak berjasa kepada asas negara ini? Bukankah Malaysia baharu adalah tanda kepada perkembangan masyarakat kita? Ia bukan politik dendam tetapi keharmonian politik yang akan menyatukan kita semua agar kita semua dapat bergerak ke hadapan.

A post shared by yananajib (@yananajib) on

Sumber polis berkata serbuan yang melibatkan 14 anggota itu dibuat pada waktu yang sama Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Difahamkan polis turut memeriksa di sebalik siling rumah untuk melihat jika ada wang tunai disembunyikan, tetapi pulang dengan tangan kosong.

"Kita pun tertanya-tanya mengapa tiada foto terhadap serbuan ini. Sebabnya? Tiada apa ditemui dan pulang dengan tangan kosong," Kata Nooryana.

"Bukankah Malaysia baharu adalah tanda kepada perkembangan masyarakat kita? Ia bukan politik dendam tetapi keharmonian politik yang akan menyatukan kita semua agar kita semua dapat bergerak ke hadapan," tambahnya.

Terdahulu Najib hari ini tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan bagi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) - Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Ia berhubung wang berjumlah RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadinya, yang didakwa pihak berkuasa diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara, 1MDB.

Najib bagaimanapun berulangkali mengatakan ia sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Sebelum ini beliau turut dihadapkan dengan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, berhubung RM42 juta yang ditemui dalam akaun peribadinya daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Lihat Komen
ADS