Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Azizah: Saya tak sokong kahwin kanak-kanak
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 10:52 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau tidak menyokong perkahwinan kanak-kanak dan berjanji akan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Hal ini susulan kenyataan Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibidas ramai pihak. Beliau sebelum ini dilaporkan berkata gadis berusia 15 tahun itu "bersetuju" berkahwin dengan lelaki berusia 44 tahun di Kelantan.

Dalam kenyataan hari ini, Wan Azizah menjelaskan beliau hanya mengutarakan kenyataan bersandarkan laporan daripada para pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya ingin menjelaskan kenyataan saya baru-baru ini berkaitan isu perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dengan duda berumur 44 tahun di Kelantan yang dibuat berdasarkan laporan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat di sana.

"Laporan itu menyatakan bahawa perkahwinan tersebut telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rendah Syariah Tumpat dan sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak menyokong perkahwinan bawah umur. Kepentingan kanak-kanak mestilah menjadi keutamaan pada setiap masa.

Perkahwinan kanak-kanak bukan jalan keluar kemiskinan

"Kenyataan saya sebelum ini adalah merujuk kepada maklumat-maklumat yang dinyatakan oleh kanak-kanak tersebut kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat yang melawatnya," katanya.

Mengulas laporan faktor kemiskinan mendorong ibu bapa gadis itu memutuskan untuk mengahwinkan anak mereka, Azizah berkata perkahwinan itu tidak patut menjadi jalan keluar kemiskinan.

"Selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya menegaskan kembali bahawa kita akan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun," katanya.

Beliau juga berkata suatu mesyuarat dengan pihak berkepentingan telah diadakan pada Khamis lalu yang membincangkan perkara-perkara berikut:

"Pihak JAKIM dan KPWKM akan bekerjasama untuk menyediakan kertas kerja bagi menaikkan had umur perkahwinan bagi orang Islam yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mendapatkan sokongan daripada negeri-negeri terhadap perkara ini.

"Negeri-negeri lain sewajarnya mencontohi Kerajaan Selangor yang telah menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

"Satu Kertas Kabinet akan disediakan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi bukan Islam juga kepada 18 tahun.

"Ketua-ketua adat akan diberikan maklumat berkaitan kesan-kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kesihatan dan keselamatan kanak-kanak dan juga pendedahan mengapa had umur minimum ini dititikberatkan.

Bertemu menteri agama, menteri undang-undang

Wan Azizah yang juga Presiden Pakatan Harapan memberitahu proses pindaan undang-undang akan mengambil masa, justeru itu pihak kementerian wanita dan Jabatan Kehakiman Syariah akan, "bekerjasama menggubal garis panduan yang lebih ketat dan menyeluruh bagi proses meluluskan perkahwinan kanak-kanak oleh Mahkamah Syariah."

"Saya juga telah berbincang dengan Datuk Dr. Mujahid Bin Yusof Rawa (Menteri Agama) dan Datuk Liew Vui Keong (Menteri Undang-Undang) untuk menyemak kelompongan (loopholes) dan ketidakseragaman (inconsistencies) di antara undang-undang Syariah dan Sivil berkaitan perkahwinan kanak-kanak.

"Saya juga telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk menyemak undang-undang sedia ada bagi memastikan kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terpelihara dalam apa jua keadaan," maklum beliau lagi.
Kes perkahwinan kanak-kanak ini yang kedua dilaporkan di Kelantan dalam beberapa bulan ini.

Kes pertama melibatkan gadis berusia 11 tahun dari Thailand yang menetap di Gua Musang menjadi isteri ketiga kepada seorang lelaki berusia 41 tahun selepas berkahwin di Sungai Golok pada Jun tahun ini.

Awal bulan ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah had umur perkahwinan untuk lelaki dan perempuan Islam dinaikkan dari 16 ke 18 tahun.

Lihat Komen
ADS