Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin dewan penyokong PAS jadi pegawai hal ehwal bukan Islam MB T'ganu
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 12:13 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Seorang pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) telah dilantik sebagai pegawai khas hal ehwal bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sekretariat DHPP S Barathidasan berkata, Ketua DHPP Terengganu Dr Balachandran G Krishnan telah mengangkat sumpah di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

"Pelantikan ini amat bermakna di samping dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat bukan Islam di negeri itu.

"Tanggapan buruk dan persepsi negatif orang ramai terhadap PAS harus dikikis kerana ia bukan parti rasis dan ekstremis. PAS adalah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan yang memberi keadilan kepada semua masyarakat, termasuk bukan Islam," katanya.

Balachandran juga merupakan ketua penerangan DHPP Pusat.

Mengulas lanjut, Barathidasan menyifatkannya sebagai satu lagi sejarah buat dewan itu selepas pencalonan 12 ahlinya dalam PRU lalu (tiga untuk parlimen, sembilan untuk DUN).

"Ini pengiktirafan yang sangat tinggi sejak penubuhan DHPP. Amat tepat sekali slogan PAS iaitu PAS for all.

"Kita buktikan ia bukan sekadar slogan tetapi akan disebatikan dalam diri untuk diterjemahkan dalam gerak laku kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS