Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ribuan daftar ahli PKR Jun lalu dicurigai kerana pemilihan

PEMILIHAN PKR | Dalam laporan terdahulu, Malaysiakini memaklumkan bagaimana keanggotaan PKR naik secara mendadak menjelang pemilihan parti itu yang akan bermula Sabtu ini sehingga 28 Oktober depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Adzman Hedra, dalam menjelaskan peningkatan keahlian secara tiba-tiba itu, memberitahu Malaysiakini hal ini mencerminkan orang ramai terpikat dengan parti itu selepas pilihan raya 9 Mei.

Walau bagaimanapun, penelitian yang lebih cermat mendapati terdapat cabang PKR dengan jumlah rekrut baru dan tarikh pendaftaran keahlian mereka menunjukkan bahawa beberapa cabang PKR itu tidak mengalami pertumbuhan yang organik.

Pada cabang-cabang PKR tersebut jelas pertambahan keanggotaan naik mendadak berbandingan pertumbuhan yang linear.

Salah satu sebab untuk menjelaskan pertambahan keahlian ini adalah ahli-ahli baru ini direkrut untuk mengundi pemimpin dalam pemilihan PKR.

Kesan kemasukan ahli baru terhadap pemilihan PKR

Sebagai syarat untuk layak mengundi dalam pemilihan parti, anggota PKR perlu didaftarkan pada atau sebelum 26 Jun berdasarkan taklimat mengenai pemilihan parti oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Julai lalu.

Sejak itu, Malaysiakini meneliti beberapa rekod keahlian parti dengan tujuan untuk mengkaji cabang PKR yang mengalami angka pertumbuhan yang tinggi dalam tempoh yang singkat dan kesannya terhadap pemilihan parti.

Malaysiakini menganalisis enam sampel cabang PKR yang merupakan antara yang terbesar di negeri masing-masing. Didapati biasanya ada peningkatan dalam pendaftaran baru satu atau dua hari sebelum tarikh tamat pendaftaran, malahan pada hari akhir atau sehari selepas tarikh akhir yang ditetapkan.

Kadar pertumbuhan untuk lima daripada enam cabang yang diteliti digambarkan pada carta di bawah:

 

Cabang Lembah Pantai yang paling kecil daripada lima cabang PKR berkenaan menyaksikan pertambahan keahlian yang stabil (linear) susulan PRU14 tetapi meningkat naik tiba-tiba sebelum hari akhir pendaftaran ahli yang melayakkan mengundi dalam pemilihan parti.

Keanggotaan PKR Lembah Pantai meningkat 22 peratus antara 1 Mei dan 27 Jun.

Bahagian ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Zaman Mohd Tasi dan Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk kepimpinan cabang itu.

Adalah diperhatikan cabang Kota Marudu, Hulu Selangor dan Teluk Kemang mengalami pertumbuhan linear sebelum peningkatan mendadak dalam pendaftaran ahli baru dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh tutup.

Daripada carta di atas, dapat dilihat bahawa pertumbuhan keanggotaan bahagian Pensiangan, di daerah pedalaman selatan Sabah adalah anomali.

Ahli PKR Pensiangan naik 321 peratus

Tidak terdapat bilangan pengambilan ahli baru yang signifikan sehinggalah tempoh 21 hingga 27 Jun lalu, yang menyaksikan 7,698 ahli baru didaftarkan.

Ini bermakna setakat 27 Jun, keahlian PKR Pensiangan meningkat sebanyak 321 peratus selepas 31 Mei.

Pertandingan kepimpinan bahagian PKR Pensiangan akan menyaksikan Ketua Pemuda AMK Sabah, Raymond Ahuar mempertahankan kerusinya terhadap tiga calon yang lain.

Walau bagaimanapun, daripada enam cabang PKR yang diteliti, keanggotaan cabang PKR Julau, di pedalaman tengah Sarawak cukup menonjol sekali.

Sehingga 26 Jun, bahagian ini mempunyai 603 ahli. Antara 9 Mei dan 26 Jun, keahliannya hanya meningkat sebanyak 40 orang.

Walau bagaimanapun, rekod keahlian menunjukkan bahawa angka keahlian bagi bahagian ini mencatatkan 12,946 anggota baru pada 27 Jun.

Ini menandakan peningkatan sebanyak 2,147 peratus dalam sekelip mata.

Beberapa pemimpin cabang PKR memberitahu Malaysiakini bahawa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minit untuk mereka memasukkan data bagi setiap ahli baru, yang bermakna tugas tersebut memerlukan pasukan yang cukup besar untuk menyelesaikan kerjanya.

Carta di bawah menunjukkan peningkatan ahli cabang PKR Julau yang digandingkan dengan lima bahagian lain untuk skala perbandingan.

 

Ketika dihubungi, ketua bahagian Julau, Semana Sawang, berkata seramai 12,946 anggota itu tidak didaftarkan oleh kakitangan parti dan sistem pendaftaran dalam talian parti membenarkan sesiapa sahaja untuk mengemukakan permohonan keahlian.

Pada masa penulisan, sistem pendaftaran dalam talian tidak kelihatan berfungsi dan oleh itu Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan secara bebas.

"Sesiapa pun boleh mendaftarkan ahli baru itu. Malah awak juga (boleh).

"Ibu pejabat akan memanggil setiap anggota baru dalam masa dua minggu sebagai sebahagian daripada proses pengesahan tetapi di Julau, sebilangan besar kami tidak mempunyai akses terhadap rangkaian telefon, " kata Semana.

Semana berkata, beliau mengetahui beberapa orang yang telah didaftarkan pada 27 Jun dan telah menemuramah mereka dalam proses itu.

Ahli BN masuk PKR

"Tiada seorang pun daripada mereka yang tahu mereka didaftarkan.

"Ada yang tidak keberatan (jadi ahli parti), yang lain tidak peduli dan ada yang tidak mahu menjadi anggota, " katanya.

Apa yang lebih aneh, kata Semana, adalah Julau hanya mempunyai kira-kira 25,000 pengundi tetapi terdapat 12,946 mendaftar sebagai ahli parti pada hari 27 Jun itu sahaja yang dikatakannya sangat mencurigakan.

"Ini bermakna sebahagian daripada mereka yang masih anggota parti BN kini menjadi anggota parti kami," katanya.

Semana berkata beliau telah mengemukakan aduan rasmi kepada ibu pejabat PKR tetapi tidak ada jawapannya setakat ini.

Beliau juga percaya bahawa mereka yang mendaftar pada 27 Jun itu akan layak untuk mengundi dalam pemilihan parti yang akan datang walaupun beliau berkata tidak melihat apa-apa dokumen rasmi mengenai hal ini.

Semana, yang telah menjadi Ketua Cabang PKR selama dua penggal sejak 2010, dicabar oleh Larry Sng Wei Shien yang merupakan Anggota Parlimen Julau.

Sng adalah ahli baru PKR yang menyertai parti itu pada 11 Mei. Sng juga akan bertanding untuk kerusi majlis kepimpinan pusat PKR (MPP).

Sng pernah menjadi ketua Sarawak Workers Party yang tidak bertahan lama dan sebelum itu pembantu khas kepada ketua menteri Sarawak ketika itu Tun Abdul Taib Mahmud.

Semasa pilihan raya 9 Mei, beliau bertanding sebagai calon bebas untuk parlimen Julau dan mengalahkan Joseph Salang Gandum daripada BN dalam pertarungan satu lawan satu.

[Baca berita penuh]



Laporan ini dihasilkan bersama oleh Andrew Ong, Shakira Buang, Hariz Mohd, Zikri Kamarulzaman dan Annabelle Lee.

 

Lihat Komen
ADS