Pemilihan PKR Negeri Sembilan ditangguh ke 20 Okt
Pemilihan PKR Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung pada 29 Sept ini telah ditangguhkan ke 20 Okt, kata Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Katanya ia adalah keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR memandangkan 29 Sept ialah hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Sehubungan itu, Negeri Sembilan akan mengadakan pemilihan serentak dengan Sarawak, pada 20 dan 21 Okt mengikut kawasan tertentu, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson ialah pada Sabtu, 13 Okt dengan hari penamaan calon pada Sabtu, 29 Sept manakala hari pengundian awal pada Selasa, 9 Okt.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri kelapan.
Pada PRU14 lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan dar Pas.
Ini adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dan Naib Ketua Cabang PKR Seremban akan bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Tampin.
Menjelaskan perkara itu, beliau sebelum ini dilaporkan telah berkata, sudah tiba masanya beliau berhijrah dan keluar dari zon selesa dengan matlamat memperkuatkan PKR di kawasan Tampin, selain mahu mendekati masyarakat di sana.
Katanya keputusan menawarkan diri bertanding di kawasan Tampin dibuat pada saat-saat akhir tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Pencabar beliau di kawasan itu ialah Kapten (B) Zulkapli Kassim yang merupakan penyandang jawatan itu.
Aminuddin, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, menyeru anggota dan penyokong PH supaya turun beramai-ramai ke Port Dickson untuk memberikan sokongan kepada Anwar dalam PRK itu nanti.
"Dengan adanya PRK ini akan memudahkan untuk mereka (anggota dan penyokong PH) untuk saling berjumpa dan berbincang untuk berkempen sesama mereka dalam keadaan yang cukup harmoni dan saya tidak nampak ada masalah ketika ini," katanya.
Mengenai PRK Port Dickson itu, beliau yang juga pengarah jentera pilihan raya PH bagi PRK itu berkata mereka telah bersedia dengan tahap persiapan antara 60 dan 70 peratus.
Katanya perjumpaan dengan semua pimpinan PH peringkat negeri sudah diadakan dan mereka bersetuju untuk berganding bahu memastikan kemenangan Anwar dalam PRK Parlimen Port Dickson nanti.
- Bernama

