Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fungsi BPA ditukar kepada ombudsman - Dr M
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 3:35 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Akta Ombudsman akan digubal bagi menukar fungsi Biro Pengaduan Awam (BPA) kepada Ombudsman Malaysia untuk memastikan pengurusan aduan awam di negara ini lebih berkesan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata langkah itu bagi menentukan jabatan-jabatan kerajaan tidak menyeleweng atau terlibat dengan rasuah.

“Jika ada aduan terhadap jabatan kerajaan dan selepas diminta pembetulan dibuat, tetapi jika tidak dapat diselesaikan, akan pergi kepada Ombudsman.

“Ombudsman ini bebas dan tidak diletak di bawah perdana menteri atau menteri-menteri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Viu Keong dan Pengerusi Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Menurut Dr Mahathir mesyuarat JKKMAR juga bersetuju dengan cadangan supaya fungsi agensi-agensi di GIACC bagi memastikan dasar dan perancangan berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya Institut Integriti Malaysia (Integriti) yang ditempatkan di bawah GIACC akan bertindak sebagai badan operasi membina kapasiti dan kompetensi agensi kerajaan serta korporat.

Dr Mahathir berkata Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) pula akan diserapkan fungsi ke dalam GIACC dan perkara itu akan dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira aspek penjimatan di pihak kerajaan.

“Gabungkan sahaja, tidak perlu ada terlalu banyak agensi,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS