Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UMP lancar portal komuniti Aku Darah Anak Malaysia
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 5:13 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini, melancarkan portal komuniti Aku Darah Anak Malaysia (ADAM) bagi menyemai semangat patriotisme masyarakat menerusi bantuan teknologi.

Naib Canselornya Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata portal komuniti ADAM itu mempunyai 40 modul berkaitan perpaduan dan peradaban yang sesuai digunakan dalam pendidikan awal persekolahan.

Katanya, usaha UMP membangunkan portal itu mendapat kerjasama daripada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BPTN) dan penubuhannya selaras dengan peradaran zaman yang memerlukan kita memahami bentuk dan jenis program yang sesuai dengan golongan masa kini bagi menarik minat mereka.

"Ia juga dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab universiti selain selari dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020 iaitu Memasyarakatkan Teknologi," katanya pada Majlis Penutup Festival ADAM sempena Sambutan Bulan Kebangsaan UMP 2018 di Kampus UMP Gambang hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor UMP (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Daing Nasir berkata UMP juga menganjurkan Festival ADAM sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2018 untuk merancakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS