Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ada anehnya PAS buat pusingan U atau 'konar baring'
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 5:30 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Jangan berasa aneh jika tiba-tiba PAS membuat pusingan U, kata salah seorang pemimpin kanan parti itu hari ini.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik parti itu boleh membuat keputusan yang rencam - termasuk "memecut" atau melakukan 'konar baring' - pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

"Jangan hairan kalau PAS U-turn. Bahkan kalau PAS break mendadak atau memecut dengan tiba-tiba hatta coner baring.

"Semuanya adalah kerana kepentingan Islam," katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod Mokhtar adalah antara pemimpin PAS yang sering memberikan pandangan secara terus-terang dan lantang mengenai isu semasa.

Beliau juga merupakan salah seorang pemimpin ulama yang terkenal di kalangan penyokong PAS.

Menurut Mokhtar walaupun ada orang menuduh PAS memperalatkan agama untuk kepentingan politik hakikatnya mereka memperalatkan politik untuk kepentingan agama.

Tanpa kepentingan peribadi

Secara berkias - salah satu kaedah penyebaran maklumat yang sering digunakan PAS - Mokhtar menjelaskan pandangan sesetengah pihak terhadap parti itu berlaku kerana ada masalah pada mereka.

"Mungkin kerana bacaan gula dalam darah dah terlalu tinggi. Sejarah yang kami telusuri membuktikan segala-galanya. Belajarlah melihat sesuatu dengan betul," katanya.

Selama beberapa dekad PAS menjadikan Umno sebagai seteru politik mereka sehinggalah keadaan berubah ketara sejak beberapa tahun lalu.

PAS juga dikaitkan dengan sejumlah dana bernilai jutaan ringgit yang didakwa disalurkan oleh individu yang mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan Umno.

Ia menjadi lebih terbuka apabila PAS dan Umno menjalin kerjasama secara terbuka.

Contoh kemesraan terbaru ialah apabila Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu istimewa pada muktamar PAS di Kuala Terengganu hujung minggu lalu.

Ia mengundang pelbagai kritikan terutama apabila mengambil kira kenyataan keras pernah diucapkan Abdul Hadi terhadap Umno suatu ketika dulu.

Menurut Mokhtar PAS bergerak dengan berlandaskan budaya politik matang dan sejahtera, selain bebas daripada sebarang kepentingan peribadi.

Katanya kepentingan yang diperjuangkan oleh PAS hanya untuk Islam dan ia menjadikan langkah politik parti itu sentiasa tenang dan selesa.

"Sesiapa yang ingin membantu Islam maka dia boleh bersama PAS. Sesiapa yang tidak bersedia maka dia boleh bersama siapa sahaja yang dia mahu, dan sesiapa yang memusuhi Islam maka dia adalah musuh PAS," katanya.

Menurut calon PAS untuk kerusi parlimen Padang Besar pada PRU ke-14 lalu itu menegaskan partinya menjauhi DAP kerana Islam, dan mendekati Umno juga atas alasan Islam.

Lihat Komen
ADS