Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemeriksaan rumah keluarga Najib sebahagian proses siasatan
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 9:28 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Pemeriksaan dilakukan polis di kediaman keluarga Datuk Seri Najib Razak di Jalan Eaton di Kuala Lumpur semalam merupakan sebahagian daripada proses siasatan berhubung 1MDB dan kes yang berkaitan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pemeriksaan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada siasatan.

"Pemeriksaan dijalankan dengan baik dan mereka yang berada di kediaman itu juga memberi kerjasama baik kepada polis," katanya selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Noor Rashid turut mengesahkan tiada sebarang rampasan dilakukan sepanjang pemeriksaan yang bermula kira-kira pukul 2 petang semalam.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, akan ditahan dan seterusnya didakwa di mahkamah, Noor Rashid berkata siasatan masih dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPRM yang jalankan siasatan. Setakat ini, saya belum boleh komen lagi," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki semalam memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan Rosmah akan turut didakwa namun belum diketahui bila tindakan itu akan diambil.

Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Semalam, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM2.282 bilion.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM3.5 juta yang akan dibayar secara berperingkat mulai hari ini sehingga 28 Sept.

- Bernama

Lihat Komen
ADS