Kedutaan Nepal di Malaysia akan mengkaji semula program orientasi semasa ke atas pekerja dari negara itu yang berada di Malaysiai susulan insiden pengambilan minuman beralkohol berbahaya yang meragut tujuh nyawa rakyatnya di sekitar Lembah Kelang.

Kuasa usahanya, Kumar Raj Kharel, berkata beliau berharap program yang dikaji semula itu akan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pekerja Nepal berkaitan bahaya pengambilan minuman keras haram dan kepentingan minum arak secara bertanggungjawab.

"Program semasa lebih memfokus kepada undang-undang dan adat resam Malaysia. Mungkin ia tidak meluas atau tempohnya adalah tidak mencukupi dan kita perlu mengkaji semula perkara ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis sambutan Hari Perlembagaan Nepal di sebuah hotel pada Khamis malam.

Pada masa ini, semua pekerja yang ingin keluar negara perlu melengkapkan sehingga antara 10 dan 11 jam program orientasi yang dikendali oleh institusi berlesen di Nepal, sebelum mereka dibenarkan bekerja di Malaysia, kata Kumar Raj.

"Kami juga menyebarkan kesedaran menerusi pelbagai kaedah, seperti Facebook secara langsung setiap minggu dan pada setiap peluang, mengingatkan rakyat kami agar lebih bertanggungjawab, menghormati adat resam serta tradisi rakyat Malaysia, dan minum arak secara bertanggungjawab," katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, setakat Khamis, 21 kematian telah dicatat daripada sejumlah 69 kes keracunan alkohol. Dua puluh tujuh rakyat Nepal terlibat.

Sementara itu, menurut angka yang dikeluarkan kedutaan negara tersebut, hanya 24 kes membabitkan rakyat Nepal dicatat, dengan tujuh kematian.

"Seorang mangsa yang meninggal dunia tidak memiliki dokumen lengkap. Bagaimanapun, berdasarkan keterangan kawan yang membawa mangsa ke hospital dan daripada rekod kami, kami mengenal pasti beliau sebagai warganegara Nepal," katanya sambil menambah bahawa kedutaan itu telah berhubung dengan Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia berkaitan insiden itu.

Menurut angka rasmi terkini, terdapat 385,000 pekerja Nepal yang sah di negara ini, dan dianggarkan kira-kira 40,000 hingga 50,000 pekerja tidak memiliki dokumen.

Kumar Raj berkata melalui siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia, beliau berharap tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam insiden itu.

Pada Khamis, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, 68 premis yang menjual minuman keras telah diperiksa, yang menyaksikan sejumlah 647 botol minuman beralkohol pelbagai jenama, termasuk yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dirampas.

Menurut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual sebarang makanan yang mempunyai sebarang bahan beracun, berbahaya atau selainnya yang boleh memudaratkan kesihatan, melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000, atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

- Bernama