Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Suhakam tak setuju kahwin sejenis, hanya minta k'jaan lindungi hak LGBT'
Diterbitkan:  Sep 22, 2018 5:39 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) menjelaskan pihaknya tidak menyokong perkahwinan sejenis di negara ini tetapi hanya mahu hak mereka dijaga.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail mengulas Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan mengingatkan suruhanjaya itu bahawa Malaysia tidak boleh menerima semua hak asasi seperti di Barat, termasuk perkahwinan sejenis.

Kenyataan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, semalam.

Razali berkata, pihaknya yakin kenyataan itu selepas beberapa syor Suhakam dalam mesyuarat jawatankuasa itu agar menyetujui baki konvensyen hak asasi manusia antarabangsa - seperti dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) PRU lalu - bagi memperbaiki mutu hidup dan melindungi hak seluruh rakyat Malaysia, termasuk golongan LGBT.

"Beberapa laporan media memberi gambaran negatif seolah-olah Suhakam menyokong perkahwinan sejenis di Malaysia. Kami tidak menyokong perkahwinan sejenis di negara ini.

"Suhakam yakin bahawa tiada konvensyen antarabangsa yang jika disertai, kerajaan akan wajib membenarkan perkahwinan sejenis sebagai sesuatu yang sah di sisi undang-undang.

"Walaupun Suhakam percaya dan setuju dengan kesejagatan hak asasi manusia, kami tidak pernah gagal untuk mengambil kira nilai-nilai konteks tempatan," kata Razali dalam kenyataan.

Menurut manifesto HARAPAN, janji ke-26 antaranya menyebut "konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi belum diratifikasi akan diratifikasikan seberapa segera, termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil".

Namun begitu, kata Razali, tiada pihak yang berhak untuk mendiskriminasikan LGBT atau melayan mereka dengan kebencian atau keganasan.

Menegaskan semua warga mempunyai hak sama bawah perlembagaan, beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan undang-undang antidiskriminasi bagi menjaga semua warga.

"Kerajaan tidak boleh benarkan satu keadaan di mana kepercayaan agama peribadi ditambah dengan ketiadaan tindakan kerajaan atau homofobia politik menjadi lesen kepada keganasan terhadap LGBT. Di Malaysia, terdapat kes-kes yang melibatkan keganasan dan pembunuhan terhadap individu transgender," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS