Pemimpin MIC tawar diri ajar PKR jalankan pemilihan aman
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany hari ini menawarkan diri untuk mendidik PKR mengenai cara mengadakan pemilihan parti tanpa sebarang kekecohan.
Menurut Devamany MIC sebuah parti yang memiliki pengalaman luas mengadakan pemilihan dan sedia berkongsi pengalaman mengendalikan proses undian secara lancar.
Katanya walaupun berbeza parti dan kini menjadi pembangkang beliau kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku semasa pemilihan PKR di Kedah hari ini.
"Walaupun PKR bukan sebahagian daripada BN, saya sedih dengan pemilihan parti tersebut.
"Saya juga sedia berkongsi pengalaman dengan PKR supaya parti tersebut dapat mengadakan pemilihan dengan lebih lancar pada masa akan datang," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Terdahulu Devamany mengetuai proses penamaan calon bagi sayap Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
PKR mula mengadakan pemilihan bagi jawatan peringkat cabang dan pusat hari ini sehingga 28 Okt depan.
Menang tanpa bertanding
Ia bermula di Pulau Pinang dan Kedah pada hari ini diikuti dengan Perak dan Perlis esok. Pemilihan akan disambung semula bagi negeri lain pada Sabtu dan Ahad depan mengikut giliran sehingga hujung Okt.
Bagaimanapun pemilihan beberapa cabang di Kedah terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku kekecohan.
PKR memberikan hak kepada semua anggotanya yang mencukup syarat untuk mengundi dalam pemilihan secara langsung itu. Ia dilakukan secara undian elektronik.
Kata Devamany proses pemilihan parti sepatutnya berlangsung secara aman dan MIC boleh dicontohi berdasarkan apa yang berlaku di ibu pejabat parti itu hari ini.

Sementara itu proses penamaan calon sayap-sayap MIC berjalan lancar dengan ketua pemuda dan putera dimenangi tanpa bertanding.
Timbalan Ketua Pemuda MIC, R Thinalan, dipilih sebagai ketua baru baharu menggantikan Datuk C Sivarraajh yang melepasi had umur.
Bagi sayap Putera MIC, bekas pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan, S Pathmaraja menang tanpa bertanding bagi penggal 2018 hingga 2021.
Bagi sayap wanita dan puteri pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
Bekas Ketua Puteri MIC, J Usha Nandini dicabar Ketua Wanita MIC Perak, G Thanaletchumi, manakala S Parasakthi dicabar oleh bekas pengacara Minnal FM, P Pon Kogilam untuk jawatan ketua Puteri MIC.
Pemilihan parti bagi sayap Wanita dan Puteri akan diadakan pada 29 September ini.

