Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Larang kanak-kanak berkahwin tak menyalahi Islam'
Diterbitkan:  Sep 22, 2018 7:17 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Penceramah Wan Ji Wan Husin berkata pandangan sesetengah pihak bahawa larangan berkahwin di bawah usia 18 tahun bercanggah dengan Islam adalah tidak benar sama sekali.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata ilmuan Islam mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara itu.

"Ada sebilangan umat islam di Malaysia membantah penetapan umur minimum untuk perkahwinan adalah 18 tahun. Mereka mendakwa penetapan kadar umur begitu tiada dalam tradisi umat Islam.

"Hakikatnya alasan ia tiada dalam tradisi Islam itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

selain perbezaan pandangan ilmuan, Wan Juga membangkitkan perbezaan tanggapan dalam umur isteri Nabi Muhammad, iaitu Aisyah, ketika berkahwin dengan baginda - yang sering dijadikan hujah untuk mempertahankan perkahwinan kanak-kanak.

Beliau berkata, sementara pandangan arus perdana menyatakan usia Aisyah ketika itu adalah enam atau tujuh tahun, ada juga pendapat yang mengatakan Aisyah sudah mencapai usia remaja ketika berkahwin dengan Nabi Muhammad.

Maka, katanya lagi, hujah perkahwinan Aisyah dengan Nabi Muhammad sama sekali tidak boleh digunakan untuk membenarkan perkahwinan kanak-kanak.

Bulan lalu negara dikejutkan dengan perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak 11 tahun di Gua Musang, Kelantan.

Ia mencetuskan polemik serta membangkitkan bantahan di kalangan masyarakat sivil mengenai kewajaran ia dilakukan dan kerajaan kini sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) bagi perkahwinan bawah umur selain mengkaji untuk menetapkan had umur 18 tahun bagi lelaki dan perempuan untuk kebenaran berkahwin.

Namun beberapa hari lalu timbul satu lagi kes seumpama itu, melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun dengan seorang lelaki berusia 44 tahun di Tumpat, Kelantan.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata umur matang kanak-kanak turut disebut dalam Quran melalui ayat yang menjelaskan anak-anak yatim tidak dibenarkan menguruskan harta selagi tidak mencapai umur matang.

Umur matang ini ditakrifkan sebagai memiliki kemampuan berfikir dan kemampuan akal dalam menguruskan harta, katanya lagi.

"Justeru, dengan melihat kewajiban capai umur matang dalam pengurusan harta, sudah pasti umur matang juga perlu dilihat dalam soal mengizinkan perkahwinan. kerumitan mengurus rumah tangga jauh lebih rumit berbanding mengurus harta," katanya.

Berkenaan peranan mahkamah syariah pula, Wan Ji mendakwa tidak semua keputusan mahkamah itu benar-benar mengikut kehendak Islam.

Beliau memberikan syarat lesen kepada pendakwah untuk berceramah daripada jabatan agama islam negeri.

Pada masa ini, mahkamah Syariah menetapkan umur minimum perkahwinan adalah 18 bagi lelaki dan 16 bagi perempuan.

Tetapi mereka yang belum mencapai umur itu boleh membuat permohonan dengan mahkamah, selain mendapat kebenaran ibu bapa.

Bantah had dinaikkan

Awal bulan lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan bahawa had umur lelaki dan perempuan Islam ditingkatkan daripada 16 ke 18 tahun.

Berikutan itu, DUN Selangor pada 6 September meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2018) yang antara lain menyelaraskan had umur perkahwinan orang Islam kepada 18 tahun.

Sementara itu, Berita Harian hari ini melaporkan Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar sebagai tidak setuju jika had umur perkahwinan dinaikkan.

Beliau mendakwa hukum syarak menetapkan umur perkahwinan bagi lelaki adalah 16 tahun dan perempuan 14 tahun.

"Apa yang penting prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan mesti melalui mahkamah dan diperketatkan SOP.

"Kenapa dibenarkan kahwin awal, kerana anak-anak sekarang sudah amat matang dan terdedah kepada soal seks lebih awal. Justeru, eloklah dikawal dan dibenarkan kahwin awal,” katanya seperti dipetik.
 

Lihat Komen
ADS