Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Kelantan yakin Tok Pa tak ajak orang lain keluar parti

Umno Kelantan meletakkan keyakinan anggota parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak sesekali akan mempengaruhi orang lain untuk mengikuti beliau meninggalkan parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata keyakinan itu dibuat berdasarkan peribadi Mustapa seperti yang dikenalinya.

"Kita yakin Tok Pa (Mustapa) tidak akan mempengaruhi orang lain untuk turut meninggalkan parti bersamanya, atas sifat-sifat yang saya yakin bahawa beliau masih sayangkan Umno.

"Itu yang dapat saya rasakan," tegasnya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Ahmad Jazlan mempengerusikan mesyuarat dan sesi penerangan khas bersama pimpinan pelbagai peringkat Umno Kelantan ekoran tindakan Mustapa keluar daripada parti itu.

Mustapa pada 18 September lalu mengejutkan banyak pihak apabila tiba-tiba mengumumkan pengundurannya daripada parti itu selepas bersama lebih 40 tahun.

Walaupun menjadi pemimpin Umno gerak kerja dan politik Mustapa dihormati ramai - termasuk dalam kalangan parti lain - kerana kematangan yang diambilnya.

Umpama dalam mimpi

Beliau yang pernah menjadi menteri persekutuan juga bebas daripada sebarang tuduhan salah laku atau penyelewengan.

Pengunduran Mustapa dibuat dua hari selepas pemimpin tertinggi Umno hadir memeriahkan muktamar PAS yang diadakan di Kuala Terengganu.

Menjelang pemilihan Umno baru-baru ini nama Mustapa turut dicadangkan oleh sesetengah pemimpin parti untuk dicalonkan sebagai presiden menggantikan Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut mengenai tindakan bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu, Ahmad Jazlan berkata, beliau memang "amat terkejut" dengan keputusan yang diambil Mustapa.

"Umno Kelantan amat terkejut dengan keputusan yang diambil oleh bekas pengerusi Umno Kelantan itu.

"Antara percaya dengan tidak - sama banyak. Saya seolah-olah menerima satu mimpi, saya tak pernah terfikir perkara ini akan berlaku," katanya.

Ahmad Jazlan juga memberitahu beliau belum lagi mendapat peluang berjumpa dengan Mustapa untuk mendengar penjelasan secara langsung mengenai faktor pengunduran itu dibuat.

Pada masa sama Ahmad Jazlan menghormati pendirian diambil Mustapa dan menganggapnya sebagai salah satu ruang yang ada dalam sistem demokrasi.

Sementara itu, Ahmad Jazlan yang juga anggota parlimen Machang berkata, Umno Kelantan percaya Pakatan Harapan (HARAPAN) akan gagal mempengaruhi mana-mana pimpinan Umno pelbagai peringkat supaya menyertai mereka.

Menurutnya, setakat ini ada usaha dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PKR yang cuba mempengaruhi ahli Umno supaya meninggalkan parti.

"Tetapi saya boleh sifatkan usaha mereka itu gagal di Kelantan, namun sebagai pengerusi Umno negeri saya berhak merayu supaya ahli-ahli Umno supaya terus istiqamah.

"Kita baru jadi pembangkang empat bulan, tak salah kalau kita perlu berada (sebagai pembangkang) untuk lima tahun, " katanya yang turut menafikan spekulasi bahawa beliau turut akan meninggalkan Umno.

Lihat Komen
ADS