Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabah akan tambah pusat rawatan dan pemulihan dadah

Kerajaan akan menambah lebih banyak Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) di Sabah, termasuk CCRC khas bagi wanita, dalam usaha menangani masalah penagih dadah di negeri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata penambahan pusat itu perlu bagi menampung penghuni CCRC yang semakin meningkat di Sabah.

Menurutnya, ketika ini, Sabah mempunyai sebuah CCRC iaitu di Papar yang mempunyai kapasiti untuk menampung 250 penghuni, namun pusat berkenaan kini beroperasi melebihi kapasiti iaitu kira-kira 400 penghuni.

"Rancangan pembinaan CCRC di pantai timur Sabah pula akan dapat memudahkan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menerima dan menghantar penagih di kawasan berkenaan untuk mendapatkan rawatan selain memudahkan keluarga berjumpa anggota keluarga masing-masing yang sedang mendapatkan rawatan.

"Dalam pada itu, CCRC wanita turut diperlukan di negeri ini agar tidak bercampur dengan penghuni CCRC lelaki," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Khas ‘Adu’ bagi menahan individu dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Sepanggar dekat Kota Kinabalu awal hari ini.

Empat puluh individu ditahan dalam operasi itu, kesemuanya lelaki yang mana 36 orang berumur antara 15 hingga 51 tahun didapati positif dadah jenis ganja dan syabu, manakala empat lagi yang turut ditahan pula diuji negatif dadah, namun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi bermula 10 malam tadi dan berakhir 1 pagi itu melibatkan 35 anggota terdiri daripada AADK Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Sementara itu, Mohd Azis, yang juga anggota Parlimen Sepanggar, berkata operasi seperti itu akan dilakukan secara berterusan di seluruh negeri bagi membendung masalah dadah dalam kalangan masyarakat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS