Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesta Kuih Bulan dicadang jadi acara tahunan di Sabah

Kerajaan Sabah mengalu-alukan cadangan agar Pesta Kuih Bulan dijadikan acara tahunan negeri selaras dengan usaha menarik kedatangan pelancong ke Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata pesta tradisi yang disambut oleh masyarakat Cina itu turut menarik perhatian semua rakyat pelbagai kaum untuk turut serta memeriahkannya.

Katanya, program berkenaan dapat menyatupadukan rakyat dan perlu terus dilakukan demi keutuhan perpaduan serta keamanan negara secara berterusan.

“Pesta ini bukan sahaja menyatupadukan rakyat pelbagai kaum, tetapi juga mampu menarik kedatangan pelancong yang lebih ramai ke negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Pesta Kuih Bulan di Tawau malam tadi.

Pada majlis sambutan itu, penganjur Seng Properties Development Sdn Bhd menyerahkan memorandum kepada Jaujan memohon kerajaan negeri menjadikan pesta berkenaan sebagai acara tahunan negeri dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah.

Terdahulu, Jaujan, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, menyarankan syarikat korporat yang terlibat dalam sektor pembangunan hartanah supaya memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik bagi membolehkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS