PAS berpendapat peruntukan yang digunakan bagi melaksanakan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson lebih bermanfaat jika dimasukkan ke Tabung Harapan Malaysia.

Ketua penerangannya Nasrudin Hassan berkata jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kembali ke Dewan Rakyat, bekas timbalan perdana menteri itu boleh menunggu sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.

Memetik kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Nasrudin menambah PRK Port Dickson memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3.6 juta selain melibatkan 1,403 petugas.

Membuat catatan di media sosial bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Indera Mahkota itu mengingatkan bahawa kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa keadaan kewangan negara sedang tenat.

"Justeru kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia pada 2 Jun 2018 untuk mengutip derma daripada rakyat.

"Alangkah baiknya jika anggaran peruntukan RM3.6 juta itu dimasukkan ke Tabung Harapan Malaysia dan PRK itu tidak perlu diadakan.

"Anwar boleh menunggu PRU ke-15 untuk merealisasikan impiannya menjadi perdana menteri kelapan," katanya.

Untuk rekod Anwar akan bertanding di PRK Port Dickson pada 13 Okt ini selepas kerusi itu dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan baru-baru ini.

Tindakan yang turut dikenali sebagai Langkah PD itu dibuat bagi mempersiapkan Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PAS - yang bekerjasama dengan Umno dalam tiga PRK sebelum ini - menyatakan kesanggupan meletakkan calon di Port Dickson jika rakan pembangkangnya membuat keputusan tidak menyertai PRK berkenaan.

Seperti kebiasaan PAS, Nasrudin menamatkan kenyataannya mengenai PRK Port Dickson itu dengan bidalan.

"Orang gopoh selalu rugi," katanya.