Syed Husin: Keputusan Anwar bertanding ada dibincang
Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson telah dibincangkan oleh PKR dan ia bukan keputusan individu, kata Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin parti itu, Syed Husin Ali.
Beliau mengulas dakwaan beberapa pimpinan PKR sebelum ini yang mendakwa keputusan tersebut tidak dibincangkan melalui saluran yang betul.
"Keputusan yang diambil bukan tindakan oleh satu orang tapi satu jawatankuasa.
"Sebenarnya ada perbicangan. Biro Politik ada membincangkan. Mereka yang mengatakan tiada perbincangan itu sebenar tidak datang mesyuarat.
"Ada yang tak datang sebab berada di luar negara. Tapi ada yang patut hadir tetapi tidak datang," katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.
Antara pemimpin PKR yang mempertikai keputusan itu sebelum ini ialah penyandang ketua wanitanya, Zuraida Kamaruddin yang mendakwa langkah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson tidak diputuskan melalui saluran yang betul.
"Setiap keputusan perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi," kata Zuraida.
Naib presiden PKR, Tian Chua pula membidas seorang lagi naib prsesiden parti itu, Rafizi Ramli kerana merancang pilihan raya kecil untuk Anwar secara rahsia.
Kata Tian Chua ia bertentangan dengan apa yang sering disuarakan Rafizi mengenai keperluan untuk Pakatan Harapan bersikap terbuka dan mengutamakan konsensus.
Kedua-dua Zuraida dan Tian Chua dilihat bersama dalam kem Datuk Seri Azmin Ali yang kini dicabar Rafizi bagi jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti itu.
Sementara itu, Syed Husin yang juga bekas timbalan presiden PKR berkata Anwar memutuskan untuk bertanding di Port Dickson selepas ditawarkan kerusi berkenaan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdulllah.
"Mengapa beliau pilih Port Dickson barangkali salah satu sebabnya mungkin kawasan itu seimbang dalam komposisi kaum iaitu Melayu 47 peratus, India 30 peratus dan Cina 23 peratus," kata Syed Husin.
Mengenai tindakan beberapa pihak membangkitkan mengapa isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka, Nurul Izzah Anwar tidak mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada ketua umum PKR itu, Syed Husin menafikan ia merupakan amalan nepotisme.
"Saya bersetuju dengan hujah Nurul Izzah dan Wan Azizah bahawa ini bukan soal nepotisme kerana ini adalah kuasa rakyat yang menentukan (kemenangan sebagai ahli parlimen).
"Kalau Anwar sendiri yang menentukan barulah itu dikatakan nepotisme. Ertinya dengan kuasa dia dan kebetulan Izzah tiada kelayakan bertanding, itu nepotisme.
Tetapi unsur-unsur itu tidak ada. Masuknya Nurul Izzah dan Wan Azizah dalam kancah politik kerana mengisi perjuangan dan pengorbanan mereka terhadap Anwar semasa di penjara. Rakyat hendakkan mereka," katanya.

