Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia sokong isu keselamatan siber Asean diselaraskan
Diterbitkan:  Sep 23, 2018 12:16 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Malaysia menyokong pendekatan aspek keselamatan siber di Asean diselaraskan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata perbincangan sudah diadakan dalam kalangan menteri Asean yang bertanggungjawab bagi hal ehwal telekomunikasi dan teknologi maklumat serta keselamatan siber.

Perbincangan tersebut diadakan susulan ASEAN Leaders’ Statement on Cybersecurity Cooperation semasa Sidang Kemuncak Asean ke-32 di Singapura pada April 2018.

Dalam ASEAN Leaders’ Statement itu, pemimpin Asean mahu menteri yang berkenaan mempertimbangkan dan mengemukakan cadangan mengenai opsyen penyelarasan dasar keselamatan siber, diplomasi, kerjasama, teknikal dan usaha pembangunan kapasiti boleh laksana supaya usaha Asean dapat ditumpukan, berkesan dan diselaraskan secara holistik.

“Berdasarkan keadaan internet hari ini, ditambah dengan pembangunan ekonomi digital yang pesat, menjadikan tidak terlalu banyak perbincangan mengenai keselamatan siber di peringkat menteri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Singapura.

Eddin berada di Singapura untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asean mengenai Keselamatan Siber 2018.

Beliau mengulangi bahawa Malaysia menyokong pendekatan terlaras untuk menangani isu keselamatan siber dalam Asean, dan begitu juga banyak cabaran lain dalam ruang digital memandangkan keselamatan siber bukan isu yang boleh diuruskan oleh entiti tunggal sebaliknya merupakan usaha pelbagai forum.

“Tertakluk kepada perundingan dengan kementerian dan agensi lain yang berkaitan di Malaysia, keutamaan pada masa ini ialah sebuah badan sektor sedia ada dalam Asean untuk menyelaraskan isu ini, dengan mandat yang diperluaskan, berbanding mewujudkan badan sektor baharu yang akan menelan kos yang besar,” katanya.

Badan sektor sedia ada yang kini menguruskan pelbagai aspek keselamatan siber di rantau Asean ialah Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM), Mesyuarat Peringkat Menteri Asean mengenai Jenayah Transnasional (AMMTC), Mesyuarat Antara Sesi Forum Serantau Asean mengenai Keselamatan dan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ARF ISM-ICT) serta Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Asean (TELMIN).

Persidangan Peringkat Menteri Asean mengenai Keselamatan Siber kali ketiga itu diadakan sempena Minggu Siber Antarabangsa Singapura mulai 18 hingga 20 Sept ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS