Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 45 peratus penduduk Pahang ada masalah gemuk
Diterbitkan:  Sep 23, 2018 1:19 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Lebih 45 peratus daripada dua juta penduduk Pahang berdepan masalah kegemukan yang boleh menyebabkan mereka menghadapi gangguan kesihatan, kata Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Beliau berkata antara penyakit yang paling banyak dikesan ialah darah tinggi dengan 30 peratus daripada jumlah tersebut, serta kencing manis (17 peratus).

Katanya ia hampir selari dengan angka di peringkat nasional dan merupakan petanda yang tidak baik.

"Masalah itu boleh dihindari sekiranya masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersukan, kurangkan makanan berlemak dan berminyak, serta mengamalkan diet yang sihat," katanya ​​​​​​​kepada pemberita pada program Gegar 10,000 Langkah Merdeka anjuran Jabatan Kesihatan Pahang di Taman Gelora, Kuantan hari ini.

Lebih 1,200 orang penduduk dan petugas beberapa jabatan kerajaan dari kawasan sekitar datang seawal jam 7.30 pagi untuk menyertai acara berjalan 10,000 langkah, berbasikal dan senamrobik yang diadakan di taman rekreasi itu.

Dr Sha’ari berkata mereka yang sering bersenam akan kelihatan lebih muda daripada usia sebenar kerana banyak mengeluarkan endorphin, iaitu hormon yang terhasil dalam badan dan akan keluar apabila seseorang melakukan aktiviti senaman.

“Penjagaan berat badan ideal dan pemakanan seimbang ini amat penting dan mesti dipandang berat oleh segenap lapisan masyarakat kerana kita mahu menghasilkan rakyat sihat serta cergas,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS