Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TMJ: Cadangan had umur kahwin 14 tahun betul-betul gila
Diterbitkan:  Sep 23, 2018 4:08 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Cadangan seorang mufti agar had umur minimum perkahwinan perempuan diturunkan kepada 14 tahun adalah tidak masuk akal sama sekali, kata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Jadikan umur perkahwinan untuk kanak-kanak perempuan kepada 14 tahun sebagai sah? Apa yang sedang berlaku di negara ini? Ini betul-betul gila," katanya dalam satu posting di Twitternya hari ini.

Beliau merujuk saranan yang dibuat oleh mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar semalam, yang tidak bersetuju had umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun.

Aziz dilapor berkata, individu patut dibenarkan berkahwin awal sesuai dengan hukum syarak, malah mencadangkan had usia diturunkan kepada 14 tahun bagi remaja perempuan dan 16 tahun bagi lelaki.

“Apa yang penting prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan mesti melalui mahkamah dan diperketatkan SOP.

“Saya malah cadang diturunkan umur kepada 14 tahun untuk perempuan dan lelaki 16 tahun. Bawah daripada umur itu perlu dapatkan kebenaran khas mahkamah," katanya seperti dilaporkan.

Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan bercadang menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun, berikutan beberapa kes perkahwinan bawah umur yang menjadi berita utama di negara ini.

Tunku Ismail juga berkata beliau percaya isu ini akan dibawa kepada Persidangan Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan.

'Bukan semua mengenai seks'

Sementara itu, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata beliau kesal dengan cadangan mufti berkenaan.

Fuziah berkata, perkahwinan bukan sahaja berkisar mengenai soal seks semata-mata, namun ia juga berkait dengan soal tanggungjawab yang perlu dipikul pasangan yang mendirikan rumah tangga.

"Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada tahun 2011 ada menyebut bahawa perkahwinan bawah umur mendatangkan lebih banyak mudharat daripada kebaikan.

"Sekiranya berlaku gejala sosial di mana remaja terdedah kepada tingkah laku seks luar nikah di peringkat umur yang muda, maka masalah itu harus dipersoal kepada institusi agama dan keberkesanan program dakwah mereka," kata Fuziah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS