Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie: Cadangan turunkan had umur perkahwinan akan diperhalusi

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan memperhalusi cadangan Mufti Sabah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar berkenaan menurunkan had umur minimum perkahwinan kepada 14 dan 16 tahun masing-masing bagi remaja perempuan dan lelaki.

Mengulas mengenai cadangan itu, Mohd Shafie berkata cadangan itu juga perlu dirujuk bersama dengan pihak lain yang lebih arif dalam bab keagamaan.

"Kita akan perhalusi (perkara) itu dan merujuk kepada mufti serta pakar agama yang lebih arif tentang cadangan berkenaan, pendekatan dan ketetapan supaya menjadi satu garis panduan di peringkat negeri untuk disampaikan ke peringkat persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2018 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai penyelarasan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di peringkat pusat, Mohd Shafie berkata di peringkat negeri perkara itu perlu mengambil kira pandangan semua pihak

"Perbezaan pendapat tidak bermakna diketepikan....kita harus mendengar daripada semua pihak sebelum perkara itu menjadi Rang Undang-Undang," katanya.

Semalam, Mufti Sabah Datuk Bungsu@ Aziz Jaafar mencadangkan untuk menurunkan had umur minimum perkahwinan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki.

- Bernama

Lihat Komen
ADS