Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ramai tak bayar PTPTN kerana janji pembangkang dulu'
Diterbitkan:  Sep 23, 2018 5:13 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Ramai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak menjelaskan pinjaman pendidikan mereka kerana terpengaruh dengan janji pembangkang terdahulu.

Anggota Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah berkata terdapat banyak faktor mengapa peminjam tidak menjelaskan pinjaman tabung berkenaan, selain tidak memiliki pekerjaan tetap.

"Saya akui ada sebahagiannya memang sengaja tidak mahu membayarnya walaupun mereka sudah punyai pendapatan tetap.

"Bagaimanapun, ada juga faktor lain yang menyebabkan mereka tidak bayar misalnya masih lagi tidak bekerja, ada yang bekerja tetapi pekerjaan mereka masih di bawah tahap kelulusan yang mereka miliki.

"Kalau hendak diteliti banyak lagi faktor lain, tetapi juga ramai yang tidak bayar hutang sebenarnya kerana terpengaruh dengan janji pembangkang dahulu yang menjadi kerajaan sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata ramai peminjam PTPTN tidak amanah menyebabkan jumlah hutang tabung itu meningkat kepada RM36 bilion.

Mahathir berkata, tindakan yang tidak amanah itu menyebabkan orang lain sukar mendapatkan pinjaman untuk membiayai pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Kenyataan tersebut diselar Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaludin Abu Bakar yang mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sendiri membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada graduan yang bergaji kurang RM4,000 sebulan.


Baca: Sejauh mana 10 janji 100 hari HARAPAN dipenuhi


Shamsul yang juga bekas pengerusi PTPTN turut berkongsi pengalaman beliau bahawa aliran pusingan kewangan perbadanan itu pernah mengalami kemerosotan akibat janji pembangkang dahulu.

"Ramai yang tidak membayar pinjaman. Kenapa mereka tidak mahu bayar? Ini kerana terpengaruh dengan mainan politik dan janji populis pembangkang ketika itu.

"Menjelang PRU13, ramai terpedaya kononnya “hutang PTPTN akan dihapuskan".

"Kesannya aliran kewangan PTPTN begitu teruk akibat ramai tidak membayar pinjaman kerana terpengaruh dengan janji pembangkang untuk hapuskan hutang dan PTPTN," jelasnya.


Baca: Janji Pakatan: Turun harga minyak dan kereta, mansuh PTPTN, pendidikan percuma

'HARAPAN sendiri tak amanah'

Justeru, kata Shamsul kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak wajar hanya melabel peminjam dengan pelbagai gelaran.

Sebaliknya katanya kerajaan perlu melakukan usaha kerajaan terdahulu untuk mendapatkan semula bayaran daripada peminjam.

"Sebab itu jugalah, kalau ditanya siapa sebenarnya yang tidak amanah tentulah kerajaan hari ini.

"Rakyat khususnya anak muda menggundi mereka kerana termakan janji manis Pakatan Harapan sewaktu kempen menjelang PRU14. Apabila janji tidak ditunai itu sebenarnya tidak amanah," katanya.

 

Lihat Komen
ADS