Draf kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibentangkan kepada kabinet dua minggu lagi, kata pengerusinya Wan Saiful Wan Jan.

Menurut Wan Saiful draf itu dihasilkan daripada kajian holistik dibuat oleh PTPTN.

Katanya walaupun menanggung bebanan kerana jumlah hutang yang tidak dibayar peminjam sangat tinggi, PTPTN mempunyai tanggungjawab untuk membantu peminjam melunaskan pinjaman mereka.

“Saya tidak boleh dedahkan lagi kandungan draf tersebut,” katanya ketika ​​​​​​​ditemui pemberita di Kangar, Perlis hari ini.

Terdahulu Wan Saiful meninjau kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis iaitu satu daripada 21 sekolah yang rosak dibadai ribut pada Isnin lepas.

Khamis lalu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - ketika memberi syarahan di Residensi Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur - berkata kerajaan menanggung hutang terkumpul sebanyak RM36 bilion ekoran kegagalan peminjam membayar balik pinjaman.

"Saya amat berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana menimbulkan isu ini,” kata Wan Saiful.

Katanya peminjam yang bermampuan seharusnya membayar balik pinjaman tanpa perlu menunggu dikenakan tindakan undang-undang.

- Bernama