Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bayi mati: Hospital siasat dakwaan cuai dari ibu bapa
Diterbitkan:  Sep 23, 2018 6:09 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia sedang menyiapkan siasatan terhadap dakwaan ibu bapa bahawa hospital itu bertanggung jawab atas kematian anak lelaki mereka yang berusia empat bulan.

Ini selepas bapa kepada bayi berkenaan membuat laporan polis di balai polis Klang minggu lalu yang mendakwa anaknya yang dilahirkan dalam keadaan degupan jantungnya tidak biasa telah meninggal dunia ketika mendapat rawatan di HTAR.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, bapa bayi itu mendakwa doktor HTAR berkata bayi tersebut perlu dimasukkan ke dalam wad.

Hal ini, walaupun ibu bapanya telah memberitahu doktor HTAR berkenaan bahawa para doktor di sebuah lagi hospital awam telah menasihatkan keadaan anak lelakinya tidak kritikal dan pembedahan bolah ditangguhkan sehinggalah anak itu membesar.

Bapa bayi itu mendakwa doktor di HTAR mengabaikan bantahannya dan tiub nasgastric Ryle - yang berfungsi memasukkan makanan dan ubat melalui hidung ke dalam perut - dipasang kepada anaknya.

Bapa bayi itu mendakwa anak lelakinya mula mengalami masalah pernafasan dan meninggal dunia dua jam selepas mendapat rawatan itu.

HTAR dalam kenyataan bertarikh 19 September yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata bayi itu di bawa ke hospital bagi mendapat rawatan susulan pada 12 September lalu dan dimasukkan ke wad pada hari yang sama selepas doktor yang dirunding mendapati keadaan bayi itu sebagai "kurang memuaskan."

"HTAR telah mengikuti semua prosedur yang ditetapkan untuk merawat mangsa. Bagaimanapun, mangsa telah meninggal dunia pada 15 September 2018, jam 11.50 malam," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan suatu bedah siasat telah dibuat pada 18 September bagi mencari punca kamatian tetapi tidak menjelaskan secara terperinci hasil bedah siasat itu.

"Kami (HTAR) bersimpati pada pemergian mendiang...

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada pihak HTAR untuk melengkapkan siasatannya," kata kenyataan itu lagi.

Ketua Polis daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli mengesahkan bapa bayi itu membuat laporan polis tetapi enggan mengulas apabila ditanya jika polis sedang menyiasat kes berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS