Keracunan alkohol: Punca arak tiruan, tanpa piawaian - Timb menteri
Tindakan memproses sendiri arak tanpa mengikut kawalan kualiti dan pengambilan arak tiruan merupakan antara punca keracunan methanol di Lembah Klang dan Perak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata siasatan kementerian mengenal pasti kandungan methanol dalam arak itu adalah tinggi.
"Kandungan methanol yang tinggi dalam minuman keras tidak sesuai kerana boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kematian berbanding menggunakan ethanol (sebatian alkohol) yang dibenarkan dalam arak.
"Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli arak tiruan yang tidak mempunyai kelulusan daripada kementerian.
"Kita juga bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti polis dan kastam untuk meningkatkan penguatkuasaan supaya penjualan arak tiruan tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk Hospital Pakar Perak di Ipoh, malam tadi.
- Bernama

