Menteri Hak Ehwal dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid menyifatkan lawatannya ke China sebagai berjaya.

Beliau berkata kerajaan dan media China berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan berhubung isu layanan buruk yang diberikan oleh pihak berkuasa negara ini kepada rakyat mereka.

Azmi yang ditemani Timbalan Menterinya Datuk Tan Chai Ho dan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berlepas ke China 6 Disember lepas bagi menjelaskan isu tersebut.

Semasa di China, Azmi berpeluang bertemu Menteri Luar, Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Menteri Pelancongan negara itu.

"Kita jelaskan bahawa kerajaan kita tidak mensasarkan rakyat China dan kita juga tidak membezakan mana-mana warga asing yang berada di Malaysia.

"Kerajaan China juga tidak membantah tindakan yang diambil terhadap rakyatnya yang melanggar peraturan. Cuma mereka tidak mahu melihat keterlaluan dalam menangani rakyatnya," kata Azmi.

Menurut laporan Bernama, Azmi menyatakan demikian kepada pemberita lewat semalam sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas lawatan seminggu ke China.

Ditanya mengenai tanggapan Kerajaan dan media China berhubung isu terbabit, Azmi berkata sebarang tanggapan negatif yang wujud berjaya diatasi selepas mendengar penjelasan yang diberikan Malaysia.

"Kerajaan China amat menghargai tindakan Malaysia menghantar seorang menteri untuk menjelaskan isu itu. Ini menunjukkan sebarang keadaan yang berlaku bukan atas kehendak kerajaan tetapi tindakan individu tertentu ketika menjalankan penguatkuasaan," katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta anggota penguatkuasa berhati-hati semasa berurusan dengan warga asing agar tidak menimbulkan kekecohan seperti yang terjadi sebelum ini.

Beliau berkata walaupun berurusan dengan seorang atau dua orang warga asing, sebarang tindakan yang silap akan dirasai oleh seluruh rakyat negara terbabit dan bagi China, ia melibatkan 1.2 bilion penduduk.

Menjawab soalan lain, Azmi mengakui masalah yang dihadapi warga China semasa di Malaysia turut memberi kesan kepada industri pelancongan negara apabila terdapat rakyat China yang membatalkan rancangan untuk melawat Malaysia selepas dinasihati agensi pelancongan di negara itu.

Azmi bagaimanpun percaya keadaan itu semakin pulih selepas beliau mengadakan pertemuan dengan agensi pelancongan China dan menjelaskan dengan panjang lebar mengenai keadaan di Malaysia.

"Selepas pertemuan dengan mereka (agensi pelancongan), kami diberitahu agensi pelancongan berkenaan sudah mula menghantar rakyat China ke Malaysia. Ini satu perkembangan yang baik," katanya.

Azmi juga akan menghantar laporan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kejayaan misinya itu.