PAS tegur MCA: Jangan takut bayang-bayang sendiri
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai membuat kenyataan yang "tidak realistik" dengan mengancam bubar BN atau menendang keluar Umno daripada gabungan itu kerana Umno menjalin kerjasama dengan PAS, kata Setiausaha Agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan.
"Dengan penuh hormat, bagi saya kenyataan presiden MCA bukan sahaja tidak realistik malah berupa takut kepada bayang-bayang sendiri.
"Jangan kerana bimbang kehilangan sokongan orang Cina kepada DAP,
MCA beralih kepada PAS yang kononnya tidak mempertimbangkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak mementingkan keharmonian kaum di negara ini," kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.
Anggota parlimen Kota Bharu itu mengulas amaran Liow semalam bahawa MCA boleh menyingkirkan Umno keluar BN jika ia bergerak ke arah politik teokrasi.
MCA setuju kerjasama tertentu
Bercakap pada Konvensyen MCA Selangor 2018 semalam , Liow menegaskan BN perlu terus memegang prinsip kemajmukan budaya dan mempertahankan keharmonian kaum di negara ini.
Beliau berkata jika Umno mengambil pendekatan kaum dan agama, Barisan Nasional akan dibubarkan atau MCA akan menolak Umno daripada gabungan itu.
Liow berkata MCA tidak setuju dengan sebarang hubungan rasmi Umno-PAS melainkan kerjasama dalam isu tertentu.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata PAS tetap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan sebarang parti politik, termasuk MCA bagi kebaikan negara.
Beliau merujuk pilihan raya kecil Balakong yang mana calon MCA bertanding atas tiket BN.
"Adalah suatu makluman yang mantap juga bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk MCA, demi untuk kebaikan rakyat dan negara.
"Walaupun MCA seolah-olah menafikan kerjasama dengan PAS semasa PRK Balakong baru-baru ini, mereka perlu sedar PAS bukan sahaja bekerjasama dengan Umno atas dasar solidariti pembangkang, tapi juga dengan MIC dan beberapa parti serta individu lain lagi," katanya.
Beliau juga menggesa MCA untuk bertindak dengan politik terbuka dan matang dan bukannya mengancam atau menyalahkan pihak lain atas kegagalan keputusan pilihan raya parti itu.
Selepas Umno dan PAS menunjukkan kerjasama mesra di PRK SUngai Kandis dan Seri Setia, Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid mengetuai delegasi kepimpinan Umno hadir ke Muktamar PAS 2018 di Kuala Terengganu awal bulan ini.
Pada muktamar tersebut, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu anggota parti mengenai kemungkinan menjalin kerjasama politik dengan Umno dan parti-parti lain.

