Najib Razak dan Jho Low - Siapa akan mula tikam dahulu?
KATA MP l Malaysia tidak pernah menjadi terkenal atau tidak terkenal di dunia sejak seminggu lalu susulan penerbitan dua buku tentang skandal rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB - semuanya atas alasan yang salah.
Saya kesipuan apabila mendapati buku Tom Wright dan Bradley Hope "The Billion Dollar Whale" dipamerkan di kedai-kedai buku di Australia, sama ada di lapangan terbang atau di bandar-bandar Australia yang saya lawati.
Saya tertanya-tanya apa reaksi dua watak protagonis 1MDB, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jutawan Pulau Pinang, Jho Low.
Adakah Najib bangga bahawa dia sedang bersaing untuk mendapatkan perhatian dengan buku "Fear" yang menghuraikan malapetaka pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di White House oleh Pemenang Hadiah Pulitzer, Bob Woodward.
Adakah Jho Low merasa bahawa dia telah mencapai kemuncak kemasyuran global sebagai subjek buku terlaris di dunia tentang bagaimana seorang lelaki muda berusia dua puluhan berjaya membolosi sistem kewangan antarabangsa untuk mendapatkan puluhan bilion ringgit, walaupun ia milik 30 juta rakyat Malaysia dan generasi seterusnya yang perlu membayar wang yang dirompak secara kreatif itu?

Tetapi satu soalan menarik timbul ketika saya membaca laporan terbaru dari editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, bahawa Jho Low sedang mencari penyelesaian dengan Jabatan Keadilan AS mengenai litigasi kleptokratik terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat untuk merampas kira-kira AS$1.7 bilion yang berkaitan dengan aset 1MDB di Amerika Syarikat.
Persoalan yang menarik itu adalah daripada kedua-dua mereka, Najib dan Jho Low, siapa yang akan mula menikam satu sama lain dalam "kes kleptokrasi terburuk" 1MDB.
Percubaan Jho Low untuk mencari penyelesaian berhubung saman DOJ AS itu bukan menjadi kes pertama seumpamanya.
Malah anak tiri Najib, Riza Aziz, juga sudah melakukan perkara sama.
Pada Mac tahun ini, Red Granite Pictures - syarikat pengeluaran filem yang dikaitkan dengan skandal 1MDB - mencapai penyelesaian dengan kerajaan AS berhubung tuntutan berjumlah AS$60 juta (RM234 juta).

Bayaran itu sebagai ganti kepada aset Red Granite yang mahu dirampas oleh DOJ, sebagai sebahagian daripada saman pelucutan sivil yang melibatkan 1MDB.
Mengikut penyelesaian itu, ketua pegawai eksekutif Red Granite, Riza Aziz (foto, atas) - anak tiri Najib - hanya akan menerima gaji terhad untuk melayakkannya menerima insurans kesihatannya sehingga jumlah pembayaran penuh dibayar.
LIM KIT SIANG adalah anggota parlimen Iskandar Puteri.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

