Lagi pemimpin Umno yang tampil membidas MCA susulan kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berkata parti Cina tersebut mungkin terpaksa menyingkirkan parti Melayu berkenaan daripada BN jika ia semakin menuju ke arah amalan politik teokrasi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, MCA adalah komponen yang sudah tidak ada apa-apa makna dalam landskap politik semasa dan sepatutnya terlebih dahulu meninggalkan BN tanpa perlu menunggu dihalau.

"MCA hanyalah sebatang mancis dalam ruang pemikiran pengundi Cina, berbanding ratusan batang yang dihuni oleh DAP dalam kotak yang sama, 'adios MCA', Umno carilah lambang baru.

"Jangan harapkan lagi dacing yang semakin senget dengan pemberatnya hanya Umno ketika ini, sedangkan MCA ibarat kapas ditiup angin dan hinggap tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Khusairi berkata, sebaiknya Umno dan PAS harus bersama-sama menuju ke arah membina gagasan politik baru, dengan lambang kesepakatan baru, komponen baru, dengan penyertaan parti-parti yang mempunyai idealisme yang sama.

Beliau yang juga ADUN Slim berkata, ahli parti MCA patut rasa malu mempunyai presiden yang bongkak seperti Liow.

Malah, katanya, sejarah membuktikan bahawa Umno banyak berkorban kerusi dan undi bagi memastikan MCA terus relevan dan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Mohd Khusairi berkata, meskipun Umno meneruskan tradisi membantu MCA, malangnya parti itu gagal menarik sokongan pengundi Cina.

"Malah ramai pemimpin dan ahlinya sendiri berpaling tadah dan tidak mengundi BN walaupun calon yang diletakkan adalah dari MCA sendiri.

"Kerusi P077 Tanjong Malim adalah bukti nyata apabila Setiausaha Agung MCA sendiri mempengaruhi penyokongnya untuk menolak calon BN yang juga pengerusi MCA Perak selepas pengumuman calon dan sepanjang tempoh berkempen," katanya

Berucap di majlis Konvensyen MCA Selangor, semalam, Liow menegaskan BN perlu terus berpegang kepada prinsip kemajmukan budaya dan mempertahankan keharominan kaum di negara ini.

Kata bekas menteri itu jika Umno mengambil pendekatan kaum dan agama, BN akan dibubarkan atau MCA akan menyingkirkan Umno daripada gabungan berkenaan.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Umno menghantar rombongan pemimpin kanannya menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu.

Rombongan berkenaan diketuai Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas berseteru selama puluhan tahun keputusan PRU ke-14 lalu membawa Umno dan PAS semakin akrab dan berkongsi pentas di beberapa progam.

Bagaimanapun kedua-dua parti menegaskan hubungan terbabit bersifat longgar dan tidak mengikat mana-mana pihak.

PAS pula menegaskan parti itu akan menghantar wakilnya untuk memeriahkan perhimpunan agung Umno yang akan diadakan pada 29 dan 30 Sept ini.