Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat belum ada tarikh- Khalil

PRK PORT DICKSON | PAS masih belum menetapkan tarikh bagi mesyuarat jawatankuasa pusatnya untuk membincangkan sama ada parti itu akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merupakan sebahagian daripada kepimpinan PAS pusat.

"Tidak, kami belum buat keputusan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat," kata Muhammad Khalil ketika dihubungi Malaysiakini.

Walaupun BN hari ini telah memutuskan untuk memboikot pilihan raya kecil itu seperti diumumkan pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perhatian kini tertumpu kepada PAS.

Pada 15 Sept lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu mungkin mempertimbangkan untuk meletakkan calon jika tidak ada parti pembangkang yang berbuat demikian.

Ini bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man - dua hari sebelum itu bahawa PAS tidak akan bertanding dalam PRK berkenaan.

Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Mahfodz Mohamed turut senada dengan Tuan Ibrahim, dengan mengatakan parti itu telah berbincang pada mesyuarat majlis Syura Ulama bahawa mereka akan memberi laluan kepada Umno.

Muhammad Khalil berkata sama ada PAS akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil itu akan diketahui selepas pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Saya tak tahu..itu kena tunggu pengumuman dari setiausaha agung," katanya.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Pada PRU14 lepas, bekas pegawai tentera laut itu menewaskan calon BN, VS Mohan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17,710 undi.

Penamaan calon diadakan pada 29 September manakala 13 Okt ditetapkan sebagai hari mengundi. Terdapat seramai 75,770 pengundi berdaftar di kawasan itu.

Lihat Komen
ADS