Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar kena menang besar di PD, kata penganalisis politik

PRK PD | Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memenangi pilihan raya kecil Port Dickson bagi menunjukkan bahawa rakyat menyokong beliau sebagai bakal perdana menteri Malaysia kelapan, kata penganalis politik.

Pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata majoriti kecil atau pengurangan majoriti berbanding yang diterima PKR pada pilihan raya umum lalu tidak akan mencerminkan sentimen bahawa rakyat mahukan Anwar menjadi perdana menteri.

"Anwar Ibrahim perlu menang besar sebab kita tahu, kita bercakap dalam soal proses dia nak jadi PM. Dia kena tarik seramai mungkin pengundi di PD untuk turun mengundi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau percaya peratusan keluar mengundi akan menurun tetapi tidak seteruk tiga pilihan raya kecil lalu kerana faktor 'feel good' terhadap Anwar.

'Kemenangan saja tak cukup'

Seorang lagi penganalis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr jeniri Amiri turut mengatakan kemenangan sahaja tidak mencukupi bagi Anwar.

"Sebagai bakal PM dan juga presiden PKR, menang sekadar menang tidak memadai. Dia harus memperlihatkan kemenangan dengan majoriti yang meyakinkan, iaitu majoriti yang besar. Dengan itu, dia boleh meyakinkan rakyat bahawa dia diterima baik," katanya.

Jeniri berkata, majoriti kecil tidak baik untuk bakal perdana menteri itu dan ia boleh dimanipulasi oleh musuh politik Anwar untuk menghalangnya daripada menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"Kalau menang majoriti biasa, ini beri kesan negatif kepada rakyat. Kalau majoriti amat kecil, ia akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu, seolah-olah dia tak popular. Bagaimana seorang yang ada wibawa macam Anwar meraih undi yang sedikit? Ini perlu dielakkan," katanya.

'Tak wakili mesej rakyat Malaysia'

Bagaimanapun seorang lagi penganalisis politik Profesor Ahmad Atory Hussein mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu.

"Kalau (pengundi) PD tak beri undi kepada dia, tak bermakna mewakili mesej rakyat seluruh Malaysia," katanya.

Menurutnya, sekiranya Anwar tewas sekalipun, bekas anggota parlimen Permatang Pauh itu masih boleh mencari tempat lai untuk bertanding.

"Anwar Ibrahim takkan berundur. Sebab dia bakal PM. Anwar Ibrahim tidak mengenal penat lelah.

"Dia masuk jail berpuluh tahun. Dia tak peduli - orang marah atau tak.

"Dia masuk bertanding mengikut lunas-lunas demokrasi dan undang-undang dibenarkan. Kalau dia kalahpun, tak ada undang-undang yang menyekat dia bertanding di kawasan lain," katanya.

Ahmad Atory bagaimanapun bersetuju bahawa Anwar mampu menarik pengundi dan beliau percaya peratusan keluar mengundi akan melebihi 50 peratus.

Lihat Komen
ADS